title
stringlengths
26
159
content
stringlengths
414
63.9k
Vespa Primavera Colour Vibe tiba di Malaysia – RM22k
Vespa Malaysia telah memperkenalkan satu lagi versi baru bagi model Primavera, dikenali sebagai Primavera Color Vibe, yang dijual pada harga RM22,500 tidak termasuk insurans. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km. Masih menggunakan ciri teknikal sama seperti Primavera 150 yang lain, versi Color Vibe ini tampil dengan warna istimewa, yang datang dalam dua pilihan iaitu Orange Tramonto atau Blue Adace. Terdapat jalur kontras pada bahagian peletak kaki, tepi badannya, serta juga rimnya. Menggerakkan Primavera Color Vibe adalah enjin satu silinder penyejukan udara i-GET berkapasiti 154.8 cc, bersama padanan transmisi automatik, mampu menghasilkan kuasa 13 hp pada 7,750 rpm dan tork 12.8 Nm pada 6,500 rpm. Primavera Color Vibe menggunakan rim saiz 12 inci, dengan padanya terdapat brek cakera 220 mm di hadapan dan brek dram di belakang. ABS datang secara standard. Kedua-dua roda ini disambung kepada casis melalui penyerap hentak tunggal.
PANDU UJI: Mazda CX-8 2.5 Turbo High Plus AWD 2023 – prestasi padu dan imej premium jadi bonus utama
Bagi yang mencari SUV enam-tempat duduk, kini memang sudah ada pilihan Proton X90 yang baru dilancarkan awal Mei lalu. Namun, bagi yang inginkan ‘jenama bukan nasional’, dan mempunyai bajet kewangan lebih padu, mungkin boleh mempertimbangkan Mazda CX-8. Biar pun tidak sepopular adiknya, CX-5, namun Mazda CX-8 tetap ada peminatnya yang tersendiri. Mungkin ada juga yang belum menyedari kehadirannya di pasaran, kerana CX-5 yang lebih menonjol, dan barangkali ada yang terkeliru antara CX-8 dan abangnya, CX-9 yang lebih low profile dari segi populariti. Pada saat kemunculan Proton X90 di pasaran, dan Toyota Innova Zenix 2023 yang bakal dilancarkan kelak, kehadiran CX-8 ini tidak wajar diketepikan. Boleh dianggap sebagai menambah variasi di dalam segmennya, CX-8 juga ada kelebihan tersendiri yang ditonjolkan. Dua bulan yang lalu, kami berkesempatan memandu uji CX-8 2.5 Turbo High Plus AWD untuk versi 2023. Tiada perubahan yang dilakukan, cirinya masih sama dengan model 2022 yang dilancarkan pada Jun tahun lalu. Baca artikel selanjutnya di sini
Ducati buka pusat sehenti baru di Kuala Lumpur
Ducati Malaysia dalam langkah memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna telah membuka sebuah pusat sehenti baru untuk motosikal jenama Itali tersebut, yang dikenali sebagai Ducati Kuala Lumpur di Wisma Pahlawan, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap, 50000 Kuala Lumpur. Terletak di aras bawah sebuah bangunan dengan keluasan 6,557 kaki persegi, Ducati Kuala Lumpur bukan setakat menempatkan ruang pameran, tetapi juga ruang servis dengan kapasiti menerima 100 buah motosikal setiap bulan. Selain daripada itu, ia juga mempunyai kawasan khas untuk produk Scrambler. “Pembukaan Ducati Kuala Lumpur ini adalah satu pencapaian penting bagi kami – ia satu sambutan kepada pertumbuhan dan evolusi berterusan jenama ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Selain daripada itu, ia juga merupakan satu tanda dedikasi kami kepada komuniti pemilik Ducati yang semakin berkembang di seluruh negara,” kata ketua pegawai operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael.
Careplus tandatangan perjanjian dengan GoAuto untuk Neta EV – kilang CKD di Negeri Sembilan
Syarikat pengeluar sarung tangan getah Careplus, telah menandatangani satu perjanjian dengan GoAuto berkenaan pengimportan, pengedaran, pemasangan dan pengilangan kenderaan elektrik melalui usaha sama dengan beberapa syarikat lain. Careplus adalah sebuah syarikat yang termasuk dalam senarai Bursa Malaysia dan perjanjian ini diumumkan dalam satu pemfailan dengan bursa tersebut pada 2 Jun lalu. Salah satu syarikat yang terlibat adalah untuk kilang pengeluaran, dengan mereka telah menyediakan sebidang tanah 74 ekar di Chembong, Negeri Sembilan untuk tujuan tersebut. Tanah itu sekarang dimiliki oleh Careplus dan syarikat itu akan mempunyai pegangan sebanyak 51% untuk kerjasama tersebut. Syarikat seterusnya yang terlibat adalah Intro Synergy, yang sekarang dimiliki penuh oleh GoAuto, tetapi 30% pegangannya akan dibeli oleh Careplus. Syarikat ini akan bertanggungjawab untuk pengimportan, pengedaran dan penjualan kenderaan elektrik jenama Neta. Careplus juga mempunyai niat untuk memasuki perniagaan jualan kenderaan, dan satu lagi syarikat kerjasama lain akan ditubuhkan untuk membuka pusat pengedaran Neta EV dan “akan dikembangkan lagi kepada pengedaran jenama EV lain dengan sokongan kepakaran GoAuto.” Neta yang berasal dari China telah membuat penampilan pertama di Malaysia bulan lalu melalui model Neta V, yang kini merupakan EV paling murah di negara kita, dengan harga jualan RM99,800. Bagi 100 pelanggan pertama, mereka akan menerima pulangan balik RM10,000, sekaligus menjadikan harga kereta tersebut cuma RM89,800. Semua peruntukan untuk tawaran itu sudah direbut, tetapi dengan pemasangan tempatan yang akan berlaku, berapa pula harganya nanti? GALERI: Neta V di Malaysia
Kerajaan cadang tambah jumlah kamera AWAS
Disebabkan keberkesanan kamera Automated Awareness Safety System (Awas) atau yang dahulunya dikenali sebagai Automated Enforcement System (AES), kerajaan bercadang untuk menambah lagi jumlah penggunaan peranti tersebut, lapor Bernama. Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas di lokasi pemasangan kamera itu telah mencecah sehingga 99 peratus. “Perkara ini berjaya meningkatkan tahap persepsi ditangkap kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya seterusnya telah mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di lokasi penguatkuasaan Awas,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat semalam. Hasbi memberikan jawapan tersebut bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) tentang status terkini kamera AES dan jumlah yang masih beroperasi dan sebarang kajian terkini dilakukan berhubung keberkesanan penggunaan kamera AES. Beliau turut memberitahu bahawa buat masa sekarang terdapat 45 kamera Awas beroperasi dan daripada jumlah itu, hanya satu kamera sedang dalam proses pembaikan serta penyelenggaraan. Menteri berkenaan juga menekankan penguatkuasaan kamera Awas bukan bertujuan memerangkap pengguna jalan raya sebaliknya, langkah itu bagi memastikan semua pengguna mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan titik hitam yang merupakan lokasi kerap berlakunya kemalangan. “Penggunaan kamera sebegini telah membolehkan aktiviti penguatkuasaan berlangsung 365 hari dan 24 jam sehari, serta mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia (anggota penguatkuasaan) yang tinggi,” katanya.
Toyota GR Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition – model konsep sempena ulangtahun ke-100 Le Mans
Sempena sambutan 100-tahun perlumbaan Le Mans 24 Jam pada hujung minggu ini, Toyota telah mendedahkan model konsep Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition. Model konsep ini dihasilkan berasaskan Prius generasi baharu dan dibina sebagai penghormatan kepada perlumbaan ketahanan berkenaan di mana ia menjadi platform untuk Toyota bagi membangunkan teknologi hibrid perlumbaan sejak 2012. Buat masa sekarang, Toyota boleh dikatakan mendominasi perlumbaan Le Mans 24 Jam ini dengan memenangi lima perlumbaan secara berturut-turut sejak 2018. Jenama dari Jepun berkenaan mensasarkan satu lagi gelaran juara tahun ini dengan mempertaruhkan jentera lumba hibrid GR010. Bagi model konsep GR Prius yang didedahkan ini, ia menerapkan rekaan yang diinspirasikan dari jentera lumba GR010 tersebut. Ia jelas dilihat pada lampu LED hadapan yang diletak pada bahagian bampar yang kini direka lebih lebar serta diberikan gril signatur GR dan juga spoiler pada bahagian bawah. Ia juga diberikan rim 18-inci dari Rays Engineering dengan rekaan sama seperti rim pada jentera lumba GR010, disalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 235/50. Menurut Toyota, suspensi GR Prius ini juga sudah diubahsuai bagi memberikan jarak trek roda yang lebih jauh, secara tidak langsung kesemua fender juga perlu dilebarkan. Selain itu ia juga dilengkapi dengan bonet hadapan gentian karbon serta kit aero lain termasuk canards pada bampar hadapan, skirt sisi lebih lebar, diffuser belakang lebih menonjol serta spoiler belakang dengan sayap bersaiz besar. Walau bagaimanapun Toyota tidak menyatakan sama ada sistem rangkaian kuasa untuk Prius ini diubahsuai atau tidak. Untuk model standard Prius yang dijual dalam pasaran, ia boleh dipilih dalam versi paling berkuasa menampilkan sistem plug-in hybrid (PHEV) menggandingkan enjin Dynamic Force M20A-FXS 2.0 liter empat silinder, pek bateri lithium-ion dan juga motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 223 PS (220 hp atau 164 kW), membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.7 saat. Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition ini nanti akan dipamerkan bersama Mazda MX-30 R-EV. Ini kerana Toyota dan Mazda bersama Organisasi Pelancongan Nasional Jepun (JNTO) akan melangsungkan pameran di Perkampungan Pengeluar Le Mans. Mazda MX-30 R-EV yang menggunakan enjin Wankel Rotary sebagai enjin penambah jarak bagi crossover hibrid berkenaan dipilih bagi memperingati jentera lumba Mazda 787B yang menggunakan enjin Wankel Rotary, menjadi kereta lumba pertama dari Jepun yang memenangi perlumbaan Le Mans pada tahun 1991.
‘Abang Sado’ tunjal kepala wanita sudah ditahan polis
Semalam tular satu video yang dipercayai berlaku di Cameron Highland, di mana seorang lelaki berbadan sasa ‘menunjal’ kepala seorang pemandu wanita kerana tidak berpuas hati wanita berkenaan memotong kenderaannya secara merbahaya. Susulan kejadian itu, Berita Harian melaporkan bahawa Polis Perak telahpun menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut. Lelaki berkenaan ditahan sebentar tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk tindakan lanjut. Berita tersebut turut menyebut bahawa Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat. Dalam video berdurasi 59 saat yang tular berkenaan, dapat dilihat seorang lelaki berbaju merah keluar daripada kereta Proton Persona yang dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandu wanita serta ‘menunjal’ kepala mangsa. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang semalam, dan pemandu wanita berusia 24 tahun berkenaan dilemparkan kata-kata kesat oleh lelaki itu sebelum kepalanya ditunjal.
Honda Elevate diperkenalkan di India – SUV segmen B baru dengan enjin 1.5L NA, transmisi CVT atau 6MT
Honda Elevate telah membuat penampilan global pertama di India, dan ia menjadi tanda kemasukan semula jenama tersebut ke dalam pasaran segmen SUV di negara itu (sebelum ini ada CR-V dan BR-V tetapi telah dihentikan). Tempahan untuk model baru ini akan dibuka pada bulan Julai dan harganya rasminya hanya akan diumumkan pada waktu itu. Mengikut jangkaan, ia akan dijual bermula pada 1.05 juta rupee (RM58,518). Menurut Honda, nama Elevate itu menggambarkan pemerkasaan, pembebasan, penerokaan, kepelbagaian, aspirasi, transformasi dan evolusi. Model ini akan bersaing dalam pasaran SUV segmen B yang cukup kompetitif, mencabar Hyundai Creta, Kia Seltos, Volkswagen Taigun, Skoda Kushaq, Maruti Suzuki Grand Vitara dan Toyota Urban Cruiser Hyryder. Untuk dimensi, Elevate mencatat ukuran panjang 4,312 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak roda 2,650 mm. Ini meletakkan ia hampir seperti Creta dan HR-V yang berada dalam pasaran kita, tetapi Elevate mengatasi jarak roda kedua-dua model yang disebutkan sebanyak 40 mm. Ia juga mencatat jarak dari tanah 220 mm dan luas ruang simpanan belakang 458 liter. Berkenaan reka bentuk, Elevate tampil tegap dengan di hadapan terdapat gril yang besar serta lampu utama nipis yang bersambung di bahagian tengah dengan kemasan krom. Muka seakan CR-V ini diperlengkap dengan lampu kabus di hujung bampar serta skid plate hiasa di bawah bampar. Pergi ke belakang, terdapat lampu dengan pencahayaan berbentuk L seakan WR-V serta kemasan yang menyambungkan keduanya di bahagian tengah. Di dalam, SUV ini dilihat mendapat sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25 inci, yang boleh disambung kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Skrin ini terletak di atas corong pendingin hawa dan butang kawalannya, sementara di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital tujuh inci. Pada konsol tengah terdapat beberapa ruang untuk barangan kecil serta cawan. Kelengkapan lain yang disediakan pada Elevate adalah termasuk telematik Honda Connect, rim 17 inci, bumbung panoramik, kamera undur, LaneWatch, Vehicle Stability Assist, Hill Start Assist, dan pakej Honda Sensing yang termasuk Collision Mitigation Braking System, Lane Keeping Assist System, Auto High Beam, Road Departure Mitigation System, Adaptive Cruise Control dan Lead Car Departure Notification. Di bawah bonetnya terdapat enjin empat silinder 1.5 liter NA, yang mampu menghasilkan 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm. Enjin DOHC i-VTEC yang boleh digunakan dengan gasohol ini juga digunakan pada model City di sana dan ia dipadankan dengan sama ada transmisi CVT atau manual enam kelajuan untuk menggerakkan dua roda hadapan. Enjin hibrid juga akan ditawarkan bagi model ini pada masa hadapan, dengan menggunakan tetapan seperti City Hybrid, iaitu gabungan enjin empat silinder 1.5 liter Atkinson-cycle bersama dua motor elektrik dan transmisi e-CVT, untuk memberikan kuasa keseluruhan 126 PS (124 hp atau 93 kW) dan tork 253 Nm.
80% pelanggan di Jawa Timur masih pilih transmisi manual berbanding automatik – Daihatsu Indonesia
Kalau kita lihat kebanyakkan model-model baharu yang dilancarkan di Indonesia, masih banyak yang hadir dengan pilihan varian dengan kotak gear manual. Tidak seperti Malaysia di mana antara model mampu milik yang ditawarkan dengan kotak gear manual adalah Proton Saga Standard, dan juga Perodua Axia E generasi terdahulu (dikhabarkan akan dijual semula tidak lama lagi). Ini adalah kerana permintaan untuk model-model dengan kotak gear manual ini mendapat permintaan yang sangat rendah di Malaysia, sehinggakan ia tidak lagi berbaloi untuk diproduksi oleh pengeluar. Agaknya berapa banyak lagi permintaan untuk kotak gear manual tersebu di Indonesia sehingga ia masih ditawarkan secara meluas di negara berkenaan? Menurut David Gunawan, ketua rantau Astra Daihatsu untuk kawasan Jawa Timur, Bali dan Nusa Tenggara, permintaan terhadap model dengan kotak gear manual bagi Daihatsu sememangnya masih lagi sangat tinggi. “Untuk kami di Daihatsu, memang manual masih sangat diminati. Tapi memang kalau untuk jenama lain, saya lihat pasti transmisi automatik lebih diminati. Di Daihatsu sendiri kita juga perlu melihat modelnya, kerana setiap model mempunyai dominasi yang berbeza antara manual dan automatik,” kata David kepada portal automotif Indonesia, Autonetmagz. “Contohnya untuk Rocky (kembar kepada Perodua Ativa), tentunya pilihan transmisi automatik lebih dominan berbanding manual. Tetapi untuk Sigra dan Xenia (kembar kepada Perodua Alza), komposisi yang membeli transmisi manual lebih besar berbanding transmisi automatik,” jelas David dan menambah bahawa pilihan transmisi manual untuk pelanggan Daihatsu di Jawa Timur masih mencecah 80%. Apa yang dinyatakan oleh Daihatsu Indonesia ini agak sama dengan apa yang disebut oleh Honda Indonesia sebelum ini. Menurut pengarah pemasaran jualan dan inovasi perniagaan PT Honda Prospect Motor, Yusak Billy ketika pelancaran Honda WR-V E dengan kotak gear manual enam kelajuan bulan lalu, Honda masih mempunyai ramai pelanggan yang mahukan kereta dengan kotak gear manual khususnya diluar kawasan Pulau Jawa. “Honda WR-V E transmisi manual ini kami tawarkan untuk memenuhi permintaan pelanggan, terutamanya dari luar Pulau Jawa yang ada keperluan dan keadaan bentuk muka bumi yang lebih bervariasi. Dengan tetap menampilkan pelbagai kelebihan dari Honda WR-V, kami percaya varian ini akan memberikan lebih banyak pilihan dengan nilai yang lebih besar bagi pelanggan.” katanya.
Kamera AWAS tingkatkan pematuhan undang-undang trafik, kurangkan risiko kemalangan jalan raya – MOT
Menerusi pelaksanaan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan ia dapat meningkatkan pematuhan undang-undang trafik, sekaligus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Timbalan Menteri MOT, Datuk Hasbi Habibollah berkata, menerusi kajian yang dijalankan oleh mendapati tahap pematuhan penggunaan jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas adalah mencecah 99% secara keseluruhannya, laporan Berita Harian. Setakat ini, terdapat 45 kamera AWAS atau sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang sedang beroperasi dan dikuatkuasakan. “Daripada jumlah itu 44 kamera sudah beroperasi sepenuhnya dan satu dalam proses pembaikan dan penyelenggaraan. Penggunaan kamera AWAS juga berjaya meningkatkan tahap persepsi ditangkap kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya dan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di lokasi peguatkuasa,” katanya ketika jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. Kenyataan ini adalah bagi menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun, (PH-Port Dickson) mengenai status terkini kamera penguatkuasaan ini dan jumlah yang masih beroperasi. Jelasnya, kamera AWAS bukanlah bertujuan memerangkap pengguna jalan raya, sebaliknya ia bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di kawasan titik hitam di mana nahas kerap berlaku sebelum ini. Di mana penggunaan kamera AWAS membolehkan aktiviti penguatkuasaan berlangsung 365 hari dan 24 jam sehari dan mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia iaitu anggota penguatkuasaan. “Kerajaan akan menambah kamera AWAS ini tetapi mengikut keperluannya dalam jangka panjang dan melihat impak kewangan, kerana ianya memang berkesan,” katanya.
Kembar Perodua Alza, Daihatsu Xenia hanya terima 3-Bintang dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP
Ketika Perodua Alza 2022 dilancarkan Julai tahun lalu MPV berkenaan telahpun diumumkan menerima pengiktirafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP). Namun baru-baru ini ASEAN NCAP telah menguji kembar Alza untuk pasaran Indonesia iaitu Daihatsu Xenia, dan model berkenaan hanya menerima pengiktirafan tiga-bintang. Menurut ASEAN NCAP, Xenia merupakan model pertama Daihatsu yang diuji oleh badan berkenaan. Ia menerima markah lebih rendah kerana varian asas MPV ini diberikan perincian keselamatan yang lebih rendah dari Alza. Seperti biasa, markah keseluruhan ujian ASEAN NCAP ini manggabungkan empat aspek penilaian di bawah protokol 2021-2015, dan Xenia menerima 32.63 markah untuk Pelindungan Penumpang Dewasa (AOP), 14.37 markah untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) 10.00 markah untuk Bantuan Keselamatan (SA) dan 7.50 markah untuk Keselamatan Penunggang Motorsikal (MS). ASEAN NCAP menyatakan bahawa varian asas Daihatsu Xenia ini hanya ditawarkan dengan dua-beg udara manakala varian tertinggi diberikan enam-beg udara. Sebagai perbandingan, Perodua Alza diberikan enam-beg udara untuk semua varian yang dijual di Malaysia. Xenia juga datang standard dengan sistem brek anti-kunci (ABS), sistem pengingat pemakaian tali pinggang keledar (SBR) hanya untuk pemandu dan juga teknologi Perlindungan Pejalan Kaki untuk semua varian. Manakala sistem kestabilan elektronik (ESC) pula hanya ditawarkan pada varian 1.3L CVT dan semua varian yang dijana enjin 1.5L, berbanding Alza yang menerima sistem ini juga pada semua varian. Daihatsu juga menawarkan teknologi bantuan pemanduan sebagai ciri opsyen, yang terdiri dari sistem Brek Kecemasan Automatik (AEB) untuk bandar, AEB antara bandar, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Pengesan Titik Buta (BSD). “Walaupun Xenia mempamerkan keputusan yang baik dalam membekalkan perlindungan semasa kemalangan, kelengkapan peralatan keselamatan aktif masih perlu dipertingkatkan. Namun begitu, Daihatsu terus berusaha dengan menyediakan pilihan kepada pelanggan untuk memilih model varian yang lebih tinggi. Tahniah kepada Daihatsu yang meletakkan inisiatif sebegini demi meningkatkan keselamatan jalan raya,” kata ASEAN NCAP dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Toyota C-HR 2024 — generasi kedua dengan gaya lebih berani; 1.8L dan 2.0L hibrid, 2.0L PHEV
Toyota C-HR 2024 generasi kedua kini secara rasminya telah diperkenalkan di Eropah. Dan, ia tidak terlalu berbeza berbanding rekaan C-HR Prologue yang pernah ditunjuk pada Disember lalu. Model serba baru ini direka di Eropah, untuk menepati keperluan pasaran Eropah. Dengan pendekatan rekaan luaran yang mempamerkan “reka bentuk konsep untuk jalan raya”, C-HR generasi kedua ini hadir dengan imej yang lebih tajam berbanding model awalnya, yang diserlahkan lagi oleh profil coupe yang agresif. Wajah depannya selari dengan wajah SUV Toyota yang lain ketika ini — misalnya bagi model EV bZ4X. Toyota C-HR 2024 ini menampilkan wajah depan dengan lampu yang khusus, dengan DRL bentuk C yang disepadukan dengan kemas dalam lampu utama. Bahagian hidung yang menonjol pada C-HR Prologue juga dikekalkan, dengan kemasan bentuk U di sekeliling gril utama serta bukaan udara kecil di bahagian bawah bampar. Di bahagian sisi, model produksi ini menggunakan rim dengan rekaan yang normal, dan cermin sisi sebenar; bukan kamera kecil digital. C-HR 2024 ini bagaimanapun mengekalkan bucu tajam di badannya, serta warna dua-tona. Tetapi, pemegang pintu belakang kini berada di posisi yang biasa dan bukan di tiang C seperti pada Prologue. Rim pula C-HR 2023 ini mampu memuatkan sehingga saiz 20-inci. Di dalam, model ini menampilkan skrin digital 12.3-inci dengan paparan grafik yang jelas dan tajam untuk memudahkan bacaan, dan boleh disesuaikan paparannnya mengikut keinginan pemandu. Ia mempunyai tiga gaya paparan untuk dipilih, yang boleh disesuaikan mengikut selera peribadi. Model generasi baru ini juga datang dengan sistem kunci digital, yang membolehkan pengguna menghidupkan kenderaan menggunakan telefon sahaja. Ciri lampu suasananya lebih komprehensif, dengan pilihan 64 warna. Ia juga datang dengan program peralihan 24 suasana, yang akan merespon kepada persekitaran. Sebagai contoh, ketika amaran Safety Exit Assist, ruang dalaman akan dinyalakan dengan pencahayaan merah untuk memberi amaran jika pintu dibuka dan ada risiko berlakuknya perlanggaran dengan basikal. Untuk pasaran Eropah, model ini turut akan didatangkan dengan pakej multimedia Toyota Smart Connect, yang terdiri daripada skrin sentuh lapan atau 12.3-inci, ciri voice command serta sambungan tanpa wayar bagi Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi model EV, sistem ini juga akan memaparkan maklumat jarak perjalanan serta lokasi pengecas. Pemandu juga boleh memanfaatkan aplikasi MyT dalam telefon pintar mereka untuk mengawal fungsi kenderaan ini dari jarak jauh, sebagai contoh fungsi pendingin hawa sebelum masuk kereta dan mulakan perjalanan. Aplikasi ini juga membolehkan fungsi parkir jarak jauh sepenuhnya, dengan pemandu berada di luar kenderaan. Toyota C-HR 2024 serba baru ini ditawarkan dalam empat sistem janaan elektrifikasi, yang terdiri daripada versi 1.8L empat-silinder dengan janaan 140 PS (138 hp atau 103 kW) dan 2.0L hybrid electric (HEV) dengan janaan 197 PS (194 hp atau 145 kW), serta satu versi 2.0L dengan sistem plug-in-hybrid (PHEV) dengan janaan 223 PS (220 hp atau 164 kW). Dengan bateri penuh, model PHEV ini boleh berhegerak sejauh 66 km dalam mod elektrik. Model 2.0L HEV juga ada yang didatangkan dengan pilihan ciri pacuan semua roda pintar (AWD-i). Semua versi C-HR 2023 ini turut memanfaatkan sistem bantuan pemandu aktif Toyota Safety Sense, dengan fungsi yang diperluaskan. Antara yang dimaksudkan ialah ciri Acceleration Suppression yang memperlahankan penggunaan pendikit yang mendadak sekiranya ada risiko berlaku perlanggaran. Selain itu ada juga Proactive Driving Assist (PDA) yang berfungsi dalam kelajuan rendah, memperlahankan kenderaan dengan tenang ketika pemandu lepaskan pendikit dan sedang mendekati kenderaan di depan. Toyota C-HR juga diperkenalkan dalam dua model Premiere Edition, dengan penggayaan dan kelengkapan tertinggi antara semua varian yang ada. Ini melibatkan GR SPORT Premiere Edition yang hadir dengan tambahan penggayaan GR, lencana GR, kemasan Liquid Black di konsol tengah dan kerusi sport dengan logo GR di perehat kepala — dengan warna khusus Precious Silver dwi-tona dengan bumbung hitam. Ia juga hadir dengan ciri head-up display dan sistem audio JBL premium. Satu lagi ialah High Premiere Edition yang hadir dengan warna luaran khas Sulphur dwi-tona, dengan pilihan warna lain juga akan ditawarkan. Selain kerusi kulit dengan jahitan kontras warna Sulphur, ada juga head-up display dan bumbung panoramik.
Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dibuka semula – KKR
Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa Jalan Gua Musang-Kuala Lipis telah pun kembali dibuka sejak petang semalam. Pembukaan jalan tersebut pastinya mampu melancarkan lagi perjalanan orang ramai menuju ke Kelantan, terutamanya pada Aidiladha yang bakal disambut Khamis ini. Sebelum ini, ia ditutup sejak 4 April lalu bagi memberi laluan kepada penanaman cerucuk Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C. Menurut Alexander, pembukaan laluan itu membabitkan satu lorong sahaja iaitu dari lampu isyarat Taman Wangi di Kuala Lipis hingga ke Petronas Persiaran Raya, Gua Musang. “Laluan ini telah dibuka kepada kenderaan ringan selepas ia (laluan terbabit) siap dibina pada 22 Jun lalu. Pembukaan laluan ini tentunya akan memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur dan khususnya penduduk tempatan. “Saya juga berharap pembukaan laluan ini akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya yang akan pulang menyambut Hari Raya Aidil Adha yang bakal tiba dan juga selepas musim perayaan nanti,” katanya. Sebelum ini, terdapat beberapa isu yang timbul apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) memutuskan untuk menutup Jalan Gua Musang-Kuala Lipis. Di mana pengguna jalan raya yang mahu ke bandar Gua Musang atau ke Kuala Lipis, perlu melalui jalan alternatif, iaitu FT 008 – Jalan Bentong-Gua Musang Bentong. Walau bagaimana pun, jalan alternatif yang disebut ini mempunyai banyak simpang dan agak sempit, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada kesesakan jalan jika banyak kenderaan melalui jalan itu. Apatah lagi penutupan laluan berkenaan ‘tidak kena pada masanya’ kerana dilaksanakan pada bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri yang lalu. Ketika itu, banyak pihak memohon agar JKR untuk menangguhkan penutupan laluan berkenaan. Namun JKR Kelantan menegaskan bahawa Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C di jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis tidak boleh ditangguh memandangkan kerja sudah dilakukan. Malahan sekiranya laluan itu dibuka, ia tetap tidak boleh dilalui kenderaan memandangkan pemasangan cerucuk sudah dilakukan.
Honda Forza 250 2023 tiba di Indonesia – bentuk dan kelengkapan sama seperti Forza 350 tapi enjin 250 cc
Oktober tahun lalu kita telah menyaksikan pasaran Thailand menerima Forza 350 baru yang dipertingkat pada banyak bahagian. Panel badannya adalah serba baru, meter juga adalah baru sementara enjin ditingkatkan menjadi 329 cc, dengan kuasa 28.8 hp pada 7,500 rpm dan 31.5 Nm tork pada 5,250 rpm. Penggemar skuter di negara kita juga teruja dengan model ini tapi nampaknya ia juga datang dengan versi 250 cc seperti yang baru dilancar untuk pasaran Indonesia. Bentuk serta kelengkapan untuk Forza 250 baru ini sama sahaja seperti Forza 350, tetapi hanya enjin sahaja yang berbeza. Dalam perincian yang didedahkan, Forza 250 ini menggunakan enjin satu silinder SOHC eSP+ 249 cc suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 22.8 hp pada 7,750 rpm dan tork 24 Nm pada 6,250 rpm. Melalui enjin yang lebih kecil ini juga, beratnya cuma berkurang 1 kg berbanding Forza 350, menjadi 186 kg. Kelengkapan lain semua adalah sama, malahan Honda Indonesia juga menggunakan gambar Forza 350 (seperti pasaran Eropah) untuk Forza 250 di dalam laman web. Skuter ini antaranya didatangkan dengan semua lampu jenis LED, panel meter gabungan analog dan digital, serta padanan rim 15 inci di hadaan dan 14 inci di belakang. Memberi kemudahan kepada pengguna, Forza 250 pasaran Indonesia juga datang dengan penghadang angin hadapan boleh laras, pengecas USB, sistem tanpa kunci serta ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh menempatkan dua helmet. Pada bahagian keselamatan, selain ABS, ia juga dilengkapi dengan kawalan cengkaman HSTC. GALERI: Honda Forza 350 pasaran Thailand
Mazda CX-3 1.5L Core 2023 di Malaysia – varian asas dengan 114 hp/149 Nm; CBU Thai; dari RM108k
Barisan Mazda CX-3 telah pun diperluaskan pada tahun lalu termasuk dengan dua varian baharu, salah satunya yang ditampilkan menerusi artikel ini, 1.5L Core. Ia dijual pada harga atas jalan mencecah RM107,920 tanpa insurans, dengan varian asas ini diposisikan di bawah 2.0L Core (RM118,359) dan 2.0L High (RM131,559). Varian Core dijanakan oleh enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter Skyactiv-G yang digunakan sebelum ini untuk Mazda 2, menghasilkan sebanyak 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,000 rpm. Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik Skyactiv-Drive enam-kelajuan dan menghantar kuasa ke roda hadapan. Berbanding High dengan hamburan kuasa 154 hp dan 206 Nm dari enjin 2.0 liter, varian Core menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik iaitu sekitar 5.7 liter per 100 km berbanding 6.3 liter per 100 km. Bagi kelengkapannya, varian asas ini didatangkan dengan roda aloi 16-inci (dengan tayar profil 215/60), lampu utama projektor halogen, dan lampu nyalaan siang jenis mentol. Jika inginkan lampu utama LED automotik, lampu kabus LED, pengelap cermin dengan pengesan hujan, cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik dan penderia parkir, anda perlu memilih 2.0L High. Ciri lain yang turut diberikan untuk varian Core termasuklah tempat duduk upholstery fabrik, kawalan pendingin hawa manual, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, cermin sisi larasan kuasa, roda stereng pelbagai-fungsi, kluster instrumen TFT LCD 4.6-inci dan mod Sport. Selain itu, Core turut didatangkan dengan brek parkir elektronik (dengan penahan brek automatik) dan kawalan kelajuan pasif. Ia juga diberikan sistem infotainmen Mazda Connect termasuk skrin sesentuh lapan-inci serta Android Auto dan Apple CarPlay. Sistem ini juga disepadukan dengan kamera undur dan sistem bunyi enam-pembesar suara. Ciri ini juga diberikan untuk varian 2.0L Core. Walau bagaimana pun, Core tidak mendapat beberapa ciri yang ada pada High termasuk paparan utama, pedal penukar gear, pengecas tanpa wayar Qi, sistem pendingin hawa automatik, tempat duduk pemandu larasan kuasa, upholstery kulit dan kamera 360-darjah. Ia juga tidak diberikan sistem bantuan pemandu dan keselamatan seperti mana yang diterima oleh varian High, ini termasuk enam beg udara, Smart City Brake Support hadapan dan belakang (Autonomous Emergency Braking), Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Monitoring, High Beam Control serta Driver Attention Alert. Namun diberikan dua beg udara dan sistem pasif yang merangkumi ABS, EBD, Dynamic Stability Control, Traction Control, Hill Launch Assist, Brake Auto Hold serta cagak ISOFIX CX-3 ini diberikan kemasan Polymetal Grey, iaitu antara tujuh pilihan warna yang ditawarkan, termasuklah Soul Red Crystal, Snowflake White Pearl, Machine Grey, Platinum Quartz dan Jet Black. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan pakej penyelenggaran percuma. Untuk pasaran Malaysia, crossover kompak segmen-B ini adalah unit import sepenuhnya (CBU) dan Thailand, berbanding sebelum ini, ia didatangkan dari Jepun.
Harley-Davidson X440 – bunyi enjin 440 cc pula disiar
Dalam masa beberapa hari lagi, Harley-Davidson (H-D) akan memperkenalkan model kapasiti rendah terbaru mereka yang dihasilkan bersama syarikat dari India, Hero Motocorp. Demi menaikkan keterujaan terhadap model yang dipanggil sebagai X440 ini, beberapa teaser sudah dikeluarkan sejak beberapa minggu lalu. Bentuknya keseluruhannya sudah dapat dilihat, dan sekarang teaser baru memperdengarkan pula bunyinya. Dentuman bunyi padat dapat didengar melalui video ini dan melalui teaser sebelum ini kita sudah mengetahui bahawa X440 menggunakan enjin satu silinder dan ekzosnya keluar satu sahaja di sebelah kanan. Kapasiti enjin tersebut setakat ini masih belum didedah, tetapi media dari India kebanyakannya menjangka ia berkapasiti 440 cc dan menggunakan sistem oil-cooled serta sistem suntikan bahan api, menghasilkan kuasa sekitar 38 PS dan tork 30 Nm. View this post on Instagram A post shared by Harley-Davidson India (@harleydavidson_india) Jika melihat kepada gambar pula, kita boleh mengetahui X440 mendapat kelengkapan seperti rim aluminium, brek cakera tunggal di hadapan dan belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, semua lampu jenis LED, ekzos di sebelah kanan serta klac yang menggunakan kabel. Bahagian meter pula menggunakan unit TFT. Selebihnya kita perlu tunggu sehingga pengenalan rasminya yang akan dibuat di India 3 Julai ini. Melalui apa yang sudah diketahui, apa pendapat anda dengan model Harley-Davidson dengan kapasiti paling rendah ini? Adakah ia dapat menarik lebih ramai pelanggan atau kurang sambutan?
Proton S50 dijumpai lagi sedang diuji; pemanduan sebelah kanan, ADAS, pelancaran semakin hampir?
Sedan terbaharu dari Proton iaitu model yang dijangka akan digelar sebagai Proton S50 kini dijumpai sekali lagi diuji di atas jalan raya awam. Imej unit prototaip tersebut diambil oleh pembaca paultan.org, Putra Azran ketika berkeliaran sekitar Subang Jaya, Selangor. Berdasarkan kedudukan pengelap cermin hadapan, unit prototaip ini adalah versi pemanduan sebelah kanan menandakan ia mungkin adalah prototaip versi akhir sebelum dijelmakan dalam versi produksi sebenar. Malah pada sebelah hadapan juga unit ini sudah diberikan gril signatur infinite weave Proton. Seperti yang sudah dilaporkan sebelum ini, sedan terbaharu Proton ini diasaskan dari Geely Emgrand pasaran China. Namun berdasarkan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan dan trade plate yang digunakan pada bahagian hadapan mempunyai lubang empat segi yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter, S50 bakal menampilkan spesifikasi lebih canggih kerana ia menerima sistem bantaun termaju (ADAS) berbanding Emgrand yang tidak ditawarkan dengan sistem tersebut. Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, berkemungkinan sistem ADAS pada S50 ini akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong. Selain dari itu, S50 nampaknya mungkin akan menerima rupa yang hampir sama dengan Emgrand termasuk profil sisi dan juga rekaan sebelah belakang. Namun S50 turut dijangka akan menampilkan unit rangkaian kuasa lebih baik iaitu enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan seperti pada Proton X50, berbanding Emgrand di China yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA dengan kotak gear DCT. Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024. Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya. Oleh itu S50 ini dijangka akan menjadi sedan Proton untuk bersaing dalam kelas segmen-C di Malaysia bagi berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla, kerana ia mempunyai enjin yang cukup berkuasa dan juga sistem ADAS yang cukup canggih setaraf dengan saingannya. Malah saiz Emgrand di China turut hadir dengan saiz yang agak besar berbanding saingan segmen-B, membolehkan ia masuk ke saingan segmen-C, menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm. Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton yang sudah tidak lagi ditawarkan iaitu Proton Preve. Menerusi petunjuk yang didedahkan oleh CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu, Proton S50 ini bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini. Dr. Li turut bahawa mengesahkan S50 merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang. Jadi apa yang diumumkan oleh Dr. Li tersebut menjadi satu lagi petunjuk bahawa S50 bukanlah sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona yang kini masih lagi dijual, tetapi sedan segmen-C yang akan menggantikan tempat Proton Preve. Kami juga menjangkakan S50 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-B. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT. Jadi kami jangkakan varian paling rendah untuk Proton S50 ini kelak mungkin boleh dijual bermula RM60k untuk varian paling asas. Setakat ini apa pendapat anda? Ada yang nak tangguh dulu untuk beli Civic atau Corolla sebab nak tengok dulu apa yang Proton tawarkan pada S50 ini? Mungkin Honda City dan Toyota Vios juga akan ‘terancam’ sekiranya S50 dijual pada harga sedemikian?
VIDEO: Hyundai Ioniq 5 N lengkapkan ujian di Nürburgring; bunyi enjin dan tukar gear macam real!
Pembuat automotif dari Korea Selatan, Hyundai mengumumkan bahawa model elektrik penuh (EV) dengan lencana sayap perlumbaan Hyundai N iaitu Ioniq 5 N kini telah pun melengkapkan ujian ketahanan 10,000 km di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife, di Jerman sebelum ia membuat kemunculan sulung di Goodwood Festival of Speed (GFOS) yang akan berlangsung bulan depan. Nürburgring merupakan ‘rumah kedua’ bagi Hyundai N selain pusat R&D jenama itu yang terletak di Namyang, Korea Selatan, dan ujian ini adalah penting bagi memastikan Ioniq 5 N memenuhi tiga kriteria utama untuk N Performance iaitu nakal di selekoh, mempunyai keupayaan di litar lumba dan juga menjadi kereta sport yang boleh digunakan setiap hari. Ioniq 5 N ini diasaskan dari model biasa hatchback EV Hyundai Ioniq 5 yang dibina dari platform Electrified-Global Modular Platform (E-GMP), tetapi ditala semula dengan pengetahuan Hyundai N yang diperolehi dari dunia perlumbaan sebenar. Menurut Hyundai, Ioniq 5 N ini diberikan sistem penyejukkan yang membolehkan suhu bateri kekal walaupun kereta ini ‘dibelasah’ di dalam litar dalam tempoh waktu yang lama. Naib presiden dan ketua jenama N & sukan permotoran Hyundai, Till Wartenberg menyatakan bahawa pembangunan sistem pengurusan haba pada EV adalah lebih mencabar dari enjin pembakaran dalaman biasa. Untuk itu, Ioniq 5 N ini diberikan pakej radiator N dengan bahagian penyejukan yang lebih besar serta menerima penyejuk minyak dan penyejuk bateri serta menerima perisian seperti N Battery Preconditioning dan N Race bagi menyelia dan mengurus kelengkapan-kelengkapan tersebut. Sistem N Battery Preconditioning akan menetapkan suhu sel bateri kepada suhu paling cekap kuasa. Fungsi sistem tersebut dibahagikan kepada dua mod iaitu mod ‘Drag’ dan mod ‘Track’ yang boleh dipilih oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi. Dalam mod Drag, suhu optimum ditetapkan untuk penggunaan segera kuasa maksimum. Manakala dalam mod Track, suhu bateri yang paling rendah dioptimumkan bagi membolehkan kereta ini dipandu lama dalam litar lumba. Manakala N Race memberi pemandu lebih kawalan langsung ke atas penggunaan tenaga kereta, mengutamakan pemanduan ‘Sprint’ atau ‘Endurance’. ‘Sprint’ menjadi tetapan asal untuk Ioniq 5 N dan ia mengutamakan kuasa penuh yang diperlukan pemandu. Manakala ‘Endurance’ pula ialah tetapan yang memaksimumkan jarak gerak Ioniq 5 ini dalam litar lumba. Ini dicapai dengan mengehadkan lonjakan kuasa secara tiba-tiba yang melambatkan pembentukan suhu dan meningkatkan daya ketahanannya. Ioniq 5 N ini juga diberikan sistem Regenerative Braking yang bukan sahaja membolehkan kuasa kinetik ditukarkan kepada kuasa elektrik ketika membrek, malah ia juga membantu memberikan kuasa pemberhentian yang lebih baik. Menurut Hyundai sistem pada Ioniq 5 N ini direka khas bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa nyah pecut maksima 0.6 G, iaitu yang paling besar pernah ditawarkan dalam industri. Sistem regenarative braking tersebut masih berfungsi walaupun ABS sedang aktif dengan memberikan kuasa nyah pecut maksima 0.2 G. Manakala untuk sistem brek konvensional, Ioniq 5 N ini dibekalkan dengan cakera berdiameter 400 mm, menampilkan material ringan dan direka bagi memaksimakan aliran udara. Seperti yang sudah diumumkan sebelum ini, Ioniq 5 N turut dilengkapi dengan sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT – dan ia kedengaran jelas dalam video teaser terbaharu untuk ujian akhir di Nürburgring ini! Menurut Hyundai, sistem ini dibangunkan bukan hanya untuk memberikan sensasi pemanduan seperti kereta sport dengan enjin pembakaran dalaman biasa, malah ia turut akan memberikan tindak balas dan juga kawalan lebih tepat kepada pemandu. Bagi menghasilkan N Active Sound ini, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang! Untuk tema bunyi Evolution pula akan memberikan bunyi elektrik yang diinspirasikan dari bunyi model konsep RN22e dan N 2025 Vision Gran Turismo Concept. Manakala bagi Supersonic, ia menghasilkan bunyi seakan jet pejuang yang akan memberikan “sensasi pemanduan seperti juruterbang jet pejuang”, dakwa Hyundai. Kesemua tema bunyi ini boleh dilaras sendiri oleh pemandu bagi disesuaikan dengan selera masing-masing. Untuk N e-Shift pula, ia akan berfungsi secara integrasi dengan N Active Sound. Rasa seakan tukaran gear kotak gear DCT tersebut dihasilkan dengan kawalan terhadap kuasa tork motor elektrik Ioniq 5 N ini. Hyundai menyatakan sistem ini direka bagi membolehkan pemandu menggunakan teknik memandu laju kereta dengan enjin pembakaran dalaman pada Ioniq 5 N ini, dan ia rasa lebih seperti sebuah kereta dengan enjin petrol berbanding EV. Kemunculan Ioniq 5 N ini di GFOS pada 13 Julai nanti turut menjadi detik bersejarah di mana ia merupakan kali pertama Hyundai menyertai acara sukan permotoran ikonik tersebut. Hyundai turut akan membawa model-model N yang lain untuk beraksi di Goodwood tahun ini termasuk model konsep prestasi hidrogen Hyundai N Vision 74.
Lorong SmartLane diaktifkan di wilayah tengah Lebuhraya PLUS hingga 2 Julai sempena Aidiladha
Sempena dengan perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada 29 Jun ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sedang mengaktifkan lorong SmartLane untuk Lebuhraya Utara-Selatan bagi wilayah tengah. Ia sudah pun bermula sejak 24 Jun lalu dan akan dilaksanakan hingga 2 Julai ini. Bertujuan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada serta membantu melancar dan menyuraikan trafik pada musim perayaan Hari Raya Aidiladha ini, lorong SmartLane tersebut beroperasi dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Ia melibatkan laluan Tapah (KM306.7) hingga Persimpangan Gopeng (KM297.0) arah utara, laluan Slim River (KM367.3) hingga ke susur masuk Persimpangan Sungkai (KM354.1) arah utara dan laluan dari R&R Rawang (KM439.6) ke susur masuk Persimpangan Sungai Buaya (KM435.5) arah utara. Klik untuk besarkan “Sepanjang tempoh tersebut, lorong paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada dan membantu melancarkan trafik pada waktu puncak pagi. “Dalam pada itu, pengguna lebuh raya boleh mengenalpasti penggunaan laluan ‘SmartLane’ ini melalui papan tanda laluan ‘SmartLane’ serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik,” kata PLUS. Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit. PLUS turut mengeluarkan larangan penutupan jalan bagi kerja-kerja penyelenggaran, naiktaraf atau pembinaan di laluan utama lebuhrayanya sehingga 3 Julai ini. “Pengecualian hanya diberikan untuk kerja-kerja penyelengaraan dan kecemasan yang memerlukan tindakan segera sahaja,” kata PLUS lagi.
JPJ, JSPT laksana Ops Khas Motosikal Modifikasi di DUKE – 691 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan Ops Khas terhadap motosikal diubahsuai secara ekstrem yang menggangu dan menjejaskan kesejahteraan penduduk sekitar melalui aktiviti rempit dan lumba haram. Menurut Bahagian Penguatkuasa JPJ, operasi ini adalah susulan aduan awam yang diterima dan dilaksanakan di Lebuhraya DUKE selama tujuh jam mulai 10 malam, melalui strategi sekatan jalan raya (SJR) dengan melibatkan 75 anggota bagi memantau di kedua-dua arah lebuhraya berkenaan. “Di mana anggota penguatkuasaan yang terbabit ditempatkan termasuk di lokasi-lokasi lorong tikus dan menahan mana-mana kenderaan yang cuba membuat pusingan lari daripada tindakan penguatkuasaan. “Hasil daripada Ops Khas ini, sebanyak 691 saman dan 155 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada insurans, LKM tamat tempoh serta kesalahan-kesalahan kegagalan mematuhi piawaian teknikal seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan ubah suai motosikal secara ekstrem, yang menyebabkan disita sebanyak 56 buah kenderaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan. JPJ turut berkata, pihaknya akan terus meningkatkan usaha pelaksanaan pematuhan kepada Akta 333 dan Akta 715 bagi tujuan mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna.
Honda Malaysia bawakan siri jelajah Gen H di Stadium Bukit Jalil pada 17-18 Jun – pelbagai acara diadakan
Selepas Pulau Pinang, Honda Malaysia bakal membawakan siri jelajah Gen H ke Stadium Bukit Jalil pada hujung minggu ini pula. Menantikan kehadiran para pengunjung pada 17 hingga 18 Jun ini, mulai jam 10 pagi hingga 10 malam, pelbagai acara bakal diadakan termasuklah funfair dan banyak lagi. ‘Gen H’, dengan ‘H’ mewakili ‘Honda, Hybrid and Hype’ dianjurkan untuk berkongsi pengalaman dan keseronokan teknologi hibrid dengan rakyat Malaysia. Jadi, pelbagai model hibrid e:HEV Honda seperti City, City hatchback, Civic dan HR-V bakal dipamerkan. Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang untuk memandu ujinya. Paling menarik, tiada sebarang caj kemasukan dikenakan, dalam erti kata lain, percuma sahaja kalau menyertai acara ini. “Honda Malaysia merupakan pelopor dalam memperkenalkan teknologi hibrid di Malaysia sejak 19 tahun yang lalu apabila kami menawarkan teknologi Integrated Motor Assist (IMA) pada Civic Hybrid. Maklumbalas berhubung teknologi IMA ini positif dan kami memperkenalkannya pula Sport Hybrid i-DCD pada tahun 2017 menerusi model City dan Jazz Hybrid yang bernilai untuk wang, menyeronokkan untuk dipandu dan didorong prestasi, memenuhi pasaran massa. “Ini secara berkesan mengubah persepsi kereta hibrid dalam kalangan rakyat Malaysia. Hari ini, teknologi telah berkembang dengan ketara, dengan teknologi hibrid termaju kami yang terkini, e:HEV, sistem hibrid dua motor yang memberikan prestasi dan kecekapan yang berkuasa pada masa yang sama sambil mengekalkan DNA yang menyeronokkan untuk dipandu,” kata CEO dan Pengarah Urusan HM Hironobu Yoshimura. Penjana kuasa e:HEV hybrid bekerja amat berbeza dengan IMA dan i-DCD, di mana lebih banyak perbatuan ditempuhi tanpa ICE, menghasilkan penjimatan bahan api yang jauh lebih baik. Enjin 1.5L e:HEV pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2020 menerusi City, dan ia merupakan pengenalan di peringkat dunia bagi varian sedan RS e:HEV. Kemudian, HM memperkenalkan e:HEV bagi City Hatchback dan HR-V pada tahun 2022. Versi terkini dan yang paling berkuasa untuk teknologi ini diperkenalkan pada November 2022 menerusi Civic FE. Penjana kuasa 2.0L mampu menghamburkan kuasa hingga 184 PS/315 Nm. Jika Civic turbo mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat, Civic e:HEV pula 8.3-8.5 saat. Bagi penggunaan bahan apinya pula, 4.0 liter per 100 km bagi varian e:HEV dan 6.3 liter untuk turbo. Setakat ini, Honda Malaysia telah menjual lebih 2,800 unit City dengan teknologi e:HEV, lebih 1,600 unit untuk City Hatchback dan lebih 2,600 unit bagi HR-V Hybrid. Manakala hampir 600 unit untuk Civic e:HEV.
BYD pintas Tesla sebagai jenama EV paling laris di Singapura bagi lima bulan pertama tahun 2023
Pembuat automotif dari China, BYD telah memintas kedudukan Tesla sebagai jenama EV paling laris di Singapura bagi lima bulan pertama tahun ini, lapor Straits Times. Berdasarkan data dari Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, BYD telah mendaftarkan sebanyak 303 unit EV di republik berkenaan dari Januari hingga Mei, membolehkan ia berada di hadapan pembuat EV dari Amerika Syarikat tersebut yang hanya mendaftarkan sebanyak 283 unit EV untuk tempoh masa yang sama. Tesla merupakan jenama EV paling laris di Singapura pada tahun lalu dan BYD berada di tempat kedua dengan ketinggalan hanya 89 unit. Jumlah jualan Tesla di negara berkenaan tahun lalu juga sebenarnya telah turun dari menguasai pendaftaran sebanyak 53.1% pada 2021 kepada hanya 24.1% pada 2022. Data dari LTA itu juga mendedahkan bahawa sebanyak 1,462 kereta elektrik telah didaftarkan di Singapura sepanjang lima bulan pertama tahun ini, dan ia adalah 13.4% dari jumlah pendaftaran keseluruhan kenderaan baharu di republik tersebut – naik 11.7% berbanding tempoh sama tahun lalu. Namun jumlah keseluruhan kenderaan elektrik dalam Singapura masih lagi rendah, iaitu hanya 7,961 unit EV yang digunakan di atas jalan raya negara tersebut pada akhir Mei lalu, atau hanya 1.2% dari populasi keseluruhan kereta di sana. Laporan itu juga turut menambah separuh dari 10 jenama automotif paling laris di Singapura iaitu Mercedes-Benz (171 unit), Hyundai (56), Polestar (51), Porsche (43) dan MG (42) mengalami kejatuhan dari segi pegangan bahagian pasaran. Manakala Opel (98 unit) dan Volvo (57) pula merupakan dua jenama yang berjaya masuk ke senarai 10 terlaris tersebut, dengan mengenepikan BlueSG (syarikat perkongsian kereta elektrik Bluecar) dan juga Audi yang terkeluar.
Polis minta saksi kejadian kemalangan maut babitkan penunggang Ducati di SUKE tampil bantu siasatan
Ekoran kes kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang maut akibat kecederaan parah selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar penghadang sebelah kiri jalan di KM 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang, semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan. Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari semalam, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62, yang menunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus. “Pihak polis sedang giat menjalankan usaha bagi mengesan suspek yang dipercayai menunggang motosikal jenis berkuasa rendah, memakai jaket warna terang dan bertopi keledar warna gelap. Kami menggesa rakan-rakan serta orang awam bagi membantu siasatan dengan membuat hebahan dan jika ada saksi atau rakaman kamera dashcam di lokasi kemalangan, diminta saksi yang berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis. “Saksi kejadian boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya Insp Muhamad Yusaiful Bin Muhamat Basir di talian 011-13078348,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh IPD Ampang Jaya. Dalam masa yang sama, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) selaku pengendali SUKE memaklumkan sudah menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkenaan kemalangan berkenaan. “Rakaman video dan bahan bukti lain turut diserahkan bagi membantu siasatan, dan pihak kami berharap ia dapat membantu mengesan penunggang motosikal yang melawan arus itu. Mengenai aspek keselamatan di SUKE, untuk pengetahuan semua, reka bentuk lebuhraya ini memenuhi piawaian dan kriteria spesifikasi yang telah ditetapkan. “Susulan insiden berkenaan, kami turut sesali dengan apa yang berlaku (kemalangan maut berkenaan) dan akan memperbanyakkan lagi isyarat tanda jalan di beberapa laluan. Kami mohon kerjasama para pengguna lebuhraya ini agar mematuhi peraturan undang-undang jalan raya,” kata CEO Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah dalam sidang media sempena pelancaran Fasa 2 Lebuhraya SUKE di Plaza Tol Alam Damai, Cheras, tengahari tadi.
Jejambat Bangsar ke Semantan dibuka Julai ini
Untuk yang menetap atau bekerja di Bangsar dan Damansara Height dan sering menggunakan Lebuhraya Sprint dari PJ ke KL, ini ada berita baik untuk anda. Sebahagian jejambat (flyover) dari Jalan Maarof ke Jalan Semantan bakal dibuka mulai 1 Julai ini. Walau bagaimana pun, menurut laporan The Star yang menghubungi sendiri pihak DBKL, hanya dua daripada tiga lorong di jejambat terbabit yang akan dibuka pada bulan hadapan. Manakala lorong ketiga hanya akan dibuka pada Disember 2023. Pada Mac lalu, dilaporkan dua lorong berkenaan bakal dibuka pada Mei, namun ternyata ia tidak kesampaian. Menurut sumber akhbar berkenaan, pihak kontraktor projek berkenaan gagal untuk memenuhi jangkamasa yang diberikan iaitu sepatutnya siap pada Mei lalu, disebabkan oleh sekatan pihak berkuasa terhadap penutupan lorong sebelum ini, yang telah menjejaskan kerja-kerja jambatan kritikal. Gambar yang diambil di Persimpangan Jalan Maarof-Sprint pada Oktober 2022 Dianggarkan menelan belanja sekitar RM211 juta, ini merupakan projek perkongsian swasta-awam (dengan Pavilion Damansara iaitu bangunan pusat membeli-belah di Pusat Bandar Damansara) yang mula beroperasi sejak Disember 2017 dan dilancarkan oleh Menteri Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Mac 2018. Jejambat sepanjang 1.34 km ini membolehkan pengguna jalan raya yang datang dari arah PJ untuk mengelak laluan dari stesen Petron ke stesen MRT Semantan. Laluan ini akan berakhir di Jalan Maarof untuk mereka yang menghala ke Bangsar. Ketika dalam pembinaannya, kesesakan teruk kerap berlaku di lokasi berkenaan. Adakah dengan adanya laluan baharu ini, ia bakal mengurangkan kesesakan di kawasan itu? Kena tunggu ia dibuka pada 1 Julai ini.
Perodua umum sejumlah 606,756 unit Axia sudah terjual di Malaysia dari 2014 sehingga 31 Mei 2023
Ketika pelancaran semula Perodua Axia E generasi pertama ke pasaran pagi tadi, pengeluar automotif dari Rawang berkenaan mengumumkan bahawa sehingga 31 Mei 2023 lalu, sejumlah 606,756 unit Axia sudah pun diserahkan kepada pelanggan di Malaysia. Jumlah berkenaan sudah tentu termasuk model generasi pertama Axia yang diperkenalkan buat pertama kali pada 2014 (kemudian menerima fasa facelift pada 2017 dan 2019) serta model generasi kedua diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang telah dilancarkan pada Februari tahun ini. Perodua Axia E generasi pertama ini dilancarkan semula ke pasaran bagi memenuhi permintaan pasaran kerana model generasi kedua hanya ditawarkan dengan varian G sebagai varian paling asas serta tidak mempunyai versi dengan kotak gear manual. Ia diperkenalkan semula dengan harga baharu yang lebih murah iaitu harga atas jalan tanpa insuran RM22,000, menjadikan ia kekal sebagai kereta baharu paling murah di Malaysia buat masa sekarang. Harga tersebut adalah RM16,600 lebih murah berbanding Axia G 2023 yang dijual pada harga RM38,600. Dengan harga yang begitu rendah tersebut, Axia E yang diperkenalkan semula ini datang dengan perincian seperti rim besi, dua beg udara dan juga enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga silinder NA berkuasa 68 PS/91 Nm yang digandingkan hanya dengan kotak gear manual, tanpa pilihan transmisi automatik. Ia juga tidak dipadankan dengan radio dan pembesar suara, tiada brek ABS dan tiada sistem kestabilan elektronik (ESC).
Mangsa penipuan ‘kereta terpakai murah dari negara jiran’ meningkat tahun ini, kerugian cecah RM9.7 juta
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan bahawa kes penipuan jual beli kenderaan secara dalam talian dilihat meningkat tahun ini, lapor Kosmo. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, modus operandi yang dijalankan sindiket adalah menawarkan kenderaan import terpakai kononnya dari negara jiran pada harga lebih murah berbanding pasaran di media sosial. Beliau menyatakan bahawa tahun lalu, sebanyak 1,336 kes direkodkan dengan kerugian lebih RM18,884,583, berbanding tahun sebelumnya dengan 309 kes bersama kerugian lebih RM4,431,409. “Berdasarkan siasatan, modus operandi yang sering digunakan adalah mengiklankan kenderaan import terpakai yang kononnya dari Singapura, Thailand, Jepun dan sebagainya di medium media sosial. “Harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding pasaran semasa. Mangsa berminat dengan tawaran itu kemudian akan diminta memasukkan wang ke akaun keldai konon untuk pembayaran wang proses, cukai jalan, geran, kastam dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan. Ramli menjelaskan, mangsa tidak menerima kenderaan yang dijanjikan selepas wang deposit tersebut dibayar. Justeru, beliau menasihati masyarakat supaya mengambil langkah pencegahan sebelum membuat pembelian seperti menyemak harga jualan semasa kenderaan terpakai di pasaran. “Selain itu, pembeli juga boleh hadir secara fizikal ke syarikat jualan kenderaan terpakai untuk melihat sendiri kenderaan yang dijual serta berbincang dengan ejen jualan sah. “Jangan mudah percaya dengan iklan jualan kenderaan terpakai yang menawarkan harga terlalu murah atau istimewa atas alasan pengecualian cukai kastam, kereta rampasan dan sebagainya yang tidak dapat dipastikan kesahihan,” katanya. Ramli menyarankan agar pembeli mastikan urusan perjanjian jual beli melalui kaedah yang diperakui supaya tidak menjadi mangsa. Beliau turut menjelaskan bahawa pembeli boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon terlebih dahulu di portal semakmule untuk mengenal pasti akaun terbabit penipuan.
Perodua Axia E diperkenalkan semula — generasi pertama, 1.0 liter 67 hp/91 Nm manual; harga RM22k
Ketika pengenalan Perodua Axia 2023 Februari lalu, pengeluarnya memaklumkan yang model paling murah varian E akan tetap ditawarkan. Dan hari ini, Perodua memperkenalkan varian berkenaan; lebih kepada pengenalan semula Axia E yang pernah ada sebelum ini — dari generasi pertama yang diperkenalkan pada 2014 (yang diberikan facelift pada 2017 dan 2019) dan bukannya dari Axia 2023 yang terbaru dengan platform DNGA. Jika ada yang tertanya-tanya apa bezanya berbanding Axia E sebelum ini, jawapannya tidak banyak. Paling utama ialah harganya: Axia E kini dijual pada harga RM22,000 — menjadikannya kereta paling murah di Malaysia ketika ini — berbanding harga terakhirnya sekitar RM24,090 bagi model yang diperkenalkan pada 2019 dahulu. Ini melibatkan penjimatan sebanyak RM2,090. Ini menurut Perodua merupakan harga yang bahkan lebih murah berbanding model Kancil ketika ia diperkenalkan dulu pada 1994. Ini juga merupakan kali pertama harga model Perodua yang sama diberikan untuk pasaran di Semenanjung dan Sabah/Sarawak. Dengan harga yang rendah ini juga, antara sasaran Perodua adalah untuk menarik perhatian penunggang motosikal untuk beralih kepada kereta — sebagai contoh, jumlah ansuran bulannya jika bagi tempoh tujuh tahun dengan kadar faedah 3.75% ialah sekitar RM300; jumlah ansuran yang sama juga biasanya dikenakan untuk motosikal dalam julat harga yang sama ketika ini. Dari segi penampilan, tidak banyak yang berubah untuk Axia E terbaru ini, hampir sama dengan apa yang pernah dilihat ada pada Axia E versi 2017 dan 2019 dahulu. Bahagian depan dapat dilihat mengenakan imej ringkas yang sama dengan versi tahun 2017, manakala bahagian belakang dan spesifikasinya mengikut model E yang terakhir ditawarkan pada 2019. Antara kelengkapan asas yang ada untuk Axia E ialah rim besi, dua beg udara tetapi tanpa ABS. Radio dan pembesar suaranya sama seperti sebelum ini, tidak disediakan. Enjinnya juga sama seperti Axia E yang lama, dengan unit 1KR-VE 1.0 liter NA tiga-silinder VVT-i yang menjana sebanyak 67 hp pada 6,000 rpm dan 91 Nm pada 4,400 rpm. Ini tentunya digandingkan dengan transmisi manual lima-kelajuan. Axia E ini juga kekal dengan panarafan empat-bintang untuk ASEAN NCAP yang ditauliahkan oleh MIROS. Selain itu, penawaran baru yang diberikan untuk pengenalan semula Axia E terbaru ini adalah pilihan warnaya kini ada tiga — Ivory White dan Glittering Silver sedia ada serta satu warna baru untuknya, Granite Grey. Axia E terbaru ini dipasangkan di kilang PGMSB di Rawang yang turut memasang model seperti Ativa dan Alza. Sejak dilancarkan pada 2014 hingga Mei 2023, Perodua telah merekodkan pendaftaran sebanyak 606,756 unit model Axia (termasuk Axia 2023 terbaru). Perodua mensasarkan jualan 1,500 unit sebulan untuk Axia E ini.
Lebuhraya SUKE Fasa 2 dibuka pada 16 Jun – kadar tol di Plaza Tol Alam Damai percuma hingga 29 Jun
Kumpulan Syarikat PROLINTAS menerusi anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd telah pun melancarkan Fasa 2 bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) secara rasminya hari ini. Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi. Bagi SUKE Fasa 2 ini, ia bakal dibuka pada laluan trafik mulai jam 12.01 tengahmalam pada 16 Jun 2023. Laluan bagi Fasa 2 ini hanya memiliki satu plaza tol sahaja iaitu Plaza Tol Alam Damai. Sempena dengan pelancarannya, kadar tol diberikan secara percuma untuk Fasa 2 ini selama dua minggu iaitu bermula 16 Jun hingga jam 11.59 malam pada 29 Jun 2023. Walau bagaimana pun, apabila kadar tol mula dilaksanakan kelak, PROLINTAS memaklumkan bayarannya adalah RM2.30, sama seperti kadar di plaza tolnya yang lain di sepanjang SUKE. Fasa 2 ini menyambungkan laluan Sri Petaling dan Bukit Jalil (laluan masuk di Lebuhraya KESAS) ke persimpangan Cheras-Kajang, berhampiran Plaza Phoenix. Melibatkan laluan sejauh 7.8 km, bermula dari Sri Petaling (dikenali sebagai persimpangan Sri Petaling), dan selain KESAS, laluan Fasa 2 ini juga bersambung dengan Lebuhraya KL-Seremban. Persimpangan seterusnya juga tidak jauh, iaitu persimpangan Sungai Besi, bersebelahan dengan stesen MRT Laluan Putrajaya dan dihubungkan kepada Lebuhraya Besraya. Dari situ, SUKE mengikut laluan MRR2, tetapi berada di atas, sehinggalah Bandar Tasik Selatan dan melepasi Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sebelah kiri. Kemudiannya, SUKE membelok ke arah Alam Damai. Di sini, reka bentuk bertingkat bermula dengan trafik menghala ke Cheras-Kajang (KL) berada di atas dan laluan ke arah Sri Petaling berada di bawah. Dengan pembukaan laluan ini, SUKE kini 99.54% lengkap, setakat 4 Jun 2023, dengan hanya satu lagi persimpangan bertingkat akan dibuka. Persimpangan terbabit iaitu jalan susur (ramp) Jalan Alam Damai masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku ketiga tahun ini. Dalam laluan Fasa 2 ini, satu lagi plaza tol, iaitu di Alam Damai akan dibuka, menjadikan keseluruhannya ada tiga tol di dalam jajaran SUKE. Setiap tingkat di laluan Alam Damai ini akan mempunyai plaza tol sendiri. Bersebelahan Plaza tol Alam Damai ini juga terdapat pusat kawalan utama SUKE, yang terletak dalam sebuah bangunan tinggi (jika dibandingkan dengan pusat kawalan lebuh raya lain) dan akan mempunyai kedai makan (juga akan dibuka kepada orang awam) di dalamnya. Terdahulu, Fasa 1 SUKE dibuka kepada orang awam pada 16 September 2022 lalu dan ia bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang dengan laluan utama sepanjang 16.6 km, 11 persimpangan dan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang. Sejak ia dibuka, setakat 31 Mei 2023, purata trafik yang menggunakannya mencecah 60,000 buah kenderaan sehari. Secara keseluruhannya, Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 km (57.7 km jika dikira sekali dengan laluan susur keluar) mempunyai 14 persimpangan keluar, iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Hillview dan Bukit Antarabangsa. Ia merupakan laluan alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dijangka membantu menampung sebahagian trafik yang lazimnya menggunakan MRR2 dan dapat memendekkan masa perjalanan dari Sri Petaling ke Ulu Kelang kepada 25 minit, berbanding 75 minit sekiranya menggunakan laluan sedia ada. Selain itu, SUKE turut dihubungkan dengan KESAS (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE). Lebuhraya baru East Klang Valley Expressway (EKVE) juga akan bersambung dengan SUKE.
MyEG dan Oyika jalin kerjasama program pertukaran bateri skuter elektrik bagi tempoh percubaan
September tahun lalu, penyedia khidmat penukaran bateri pintar Oyika mengumumkan bahawa mereka bersedia untuk melancarkan “Battery-as-a-Service” untuk skuter elektrik di Malaysia dalam masa terdekat, dengan stesen penukaran bateri mula dibuat pada awal tahun ini. Hasil daripada langkah ini semakin hampir apabila MyEG Services mengumumkan telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Oyika Green Technologies (OGT) untuk kerjasama menggunakan skuter elektrik serta perletakan stesen penukaran bateri di lokasi tertentu sebagai percubaan – lapor The Star. Dalam satu pemfailan dengan Bursa Malaysia, MyEG memberitahu bahawa OGT, yang dimiliki oleh Yinson Mobility, akan membekalkan motosikal elektrik kepada mereka untuk tujuan percubaan selama tempoh sehingga 30 hari. Syarikat itu turut menambah bahawa mereka akan menyediakan lokasi khas untuk OGT meletakkan stesen penukaran bateri tersebut. Seperti yang dinyatakan, servis penukaran bateri Oyika akan membenarkan pelanggan skuter elektrik syarikat itu menukar bateri kenderaan mereka secara mudah apabila perlu. Mereka cuma perlu pergi ke mesin vendor bateri, aktifkan aplikasi, tukar bateri yang kosong dengan yang penuh dan sambung kembali perjalanan. Dalam aplikasi Oyika ada menunjukkan pelbagai informasi penting bagi pengguna termasuk lokasi stesen penukaran bateri, jumlah bateri yang tersedia serta membenarkan pengguna menempah bateri lebih awal bagi masa tertentu. Untuk langganan program Oyika pula, pengguna boleh memilih pakej harian, mingguan, bulanan atau tahunan.
Ducati DesertX RR22 tiba di Malaysia – RM115,900
Ducati Malaysia mengumumkan, Desert X RR22 kini sudah tiba di Malaysia, dengan harga jualan RM115,900 tidak termasuk insurans. Tidak semua pasaran menerima Desert X RR22 ini, dan Malaysia menjadi antara yang bertuah dengan sekarang lima unit sudah tersedia untuk pembeli. Model yang menjadi tambahan kepada Desert X biasa (RM112,900 di Malaysia) ini menggunakan grafik yang dibuat khas untuk hari litar kerjasama antara Audi dengan bekas pelumba MotoGP, Danilo Petrucci dan mendapat inspirasi daripada kereta elektrik Audi RS Q e-tron yang digunakan dalam rali Dakar. Ciri mekanikal motosikal ini bagaimanapun masih sama seperti Desert X biasa, bermula dengan enjin, iaitu unit v-twin Testastretta 937 cc yang mampu menghasilkan 110 hp pada 9,250 rpm dan 92 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan quickshifter diberikan sekali. Saiz rim Desert X mengikut seperti jentera offroad dengan saiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dan merupakan unit spoked yang dibalut tayar Pirelli Scorpion Rally STR. Brek adalah daripada Brembo, dengan tetapan cakera berkembar 320 mm serta angkup M50 di hadapan dan cakera 265 mm dan angkup dua piston di belakang. Suspensi pula menggunakan unit daripada Kayaba dan boleh dilaras sepenuhnya untuk pra beban, mampatan dan lantunan. Bahagian hadapan menggunakan fork USD dengan jarak gerak 230 mm manakala bahagian belakang menggunakan monoshock dengan jarak gerak 220 mm. Tinggi Desert X dari tanah adalah 250 mm manakala tinggi tempat duduknya adalah 875 mm dalam keadaan standard. Berat keseluruhan adalah 202 kg.
Shell FuelSave 95 Challenge 2023 umum pemenang – juara bawa pulang RM20k dengan rekod 28.23 km/l
Pada Februari lalu, Shell Malaysia telah memperkenalkan Shell FuelSave 95 baharu dengan formulasi bahan api gred utama terbaik ciptaannya setakat ini yang didakwa dapat membuktikan perjalanan 15 kilometer (km) lebih jauh bagi setiap tangki. Susulan pelancaran itu, Shell Malaysia telah menganjurkan Shell FuelSave 95 Challenge 2023 bagi menggalakkan pelanggan menikmati perjalanan 15 km lebih jauh tanpa gangguan untuk setiap tangki yang diisi dengan bahan api gred utama baharu ini. Selepas sebulan Shell FuelSave 95 Challenge 2023 dianjurkan akhirnya menemui pemenangnya. Chin Li Qin, 26 tahun dari Johor dinobatkan sebagai pemandu paling efisien di Malaysia selepas merentasi lima wilayah dengan mencatatkan perbatuan bahan api yang menakjubkan sebanyak 28.23 km bagi setiap liter (km/l). “Kini, kami bukan sahaja dapat mengukur penjimatan bahan api yang diperoleh pelanggan bagi setiap tangki penuh Shell FuelSave 95, tetapi juga dapat menyaksikan pelanggan kami mencapai perbatuan yang menakjubkan seterusnya membuktikan Shell FuelSave 95 baharu kami ternyata lebih jauh. “Melalui keputusan Shell FuelSave 95 Challenge 2023, bahan api kami terbukti memberikan perbatuan lebih jauh. Saya menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia mencuba dan alami penjimatan bahan api kami yang lebih baik serta kongsikan pengalaman anda sama ada ia Biar Benar, Lebih KM!” kata Seow Lee Ming, Pengurus Besar Mobiliti, Shell Malaysia. “Saya sangat teruja apabila diumumkan sebagai johan Grand Finale Shell FuelSave 95 Challenge 2023. Ia merupakan pencapaian yang amat mengagumkan apabila peserta lain juga berjaya mencapai perbatuan melebihi penanda aras purata. Beberapa keadaan jalan raya agak mencabar tetapi saya pastikan fokus saya tidak terganggu dan mengekalkan gaya pemanduan saya seperti di kampung halaman,” kata Li Qin yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000. Cabaran Grand Finale bermula di Shell SM Alisha, Shah Alam dengan jarak keseluruhan 121 km yang melalui pelbagai keadaan jalan raya yang berbeza merentasi Cyberjaya – Bukit Jalil – Cheras – Ampang – Gombak – Sri Hartamas – Kota Damansara – Puncak Alam sebelum kembali semula ke lokasi permulaan. Li Qin telah bersaing dengan Jeffrey Tan Teck Heng dari Port Dickson, Ahmad Amirul Runass dari Kuantan, Muhammad Jazli Mahathir dari Ipoh, dan Lai Siaw Feng dari Kuching, yang juga mewakili wilayah masing-masing telah berjaya melepasi penanda aras purata perbatuan sebanyak 18.5 km/l dengan Shell FuelSave 95.
Perodua Nexis dibayangkan dari Toyota Yaris Cross – rupa paling hampir untuk pesaing baru Proton X50?
Sebelum ini berberapa lakaran digital telah dibuat bagi membayangkan rupa SUV baharu yang sedang dibangunkan oleh Perodua, setakat ini dikenali dengan kod projek D66B. Lakaran-lakaran tersebut dibuat secara rawak tanpa rujukan dari unit prototaip sebenar, dan hanya mengambil elemen-elemen dari model-model terbaharu Perodua yang telah dijual dalam pasaran. Namun selepas Toyota Yaris Cross didedahkan di Indonesia bulan lalu, bayangan untuk rupa sebenar SUV D66B Perodua ini makin jelas. Ini kerana Yaris Cross yang sebelum itu dikenali dengan kod projek D03B berkemungkinan besar adalah kembar kepada D55B, kerana kedua-duanya merupakan SUV segmen-B yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dari varian DNGA-B. Seperti biasa, bayangan Perodua Nexis berasaskan Toyota Yaris Cross ini dihasilkan oleh pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin. Mana datang nama Nexis ni? Nama berkenaan sebenarnya sudah dilihat didaftarkan oleh Perodua bersama satu lagi nama iaitu ‘Traz’ di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebelum Perodua Alza 2022 dilancarkan lagi. Walaupun nama berkenaan masih belum diumumkan secara rasmi akan digunakan oleh Perodua, sudah ramai yang meramalkan bahawa ia akan digunakan pada SUV baharu Perodua ini kelak. Bagi Nexis yang dibayangkan oleh Theo ini, seperti lazimnya model kembar Toyota-Daihatsu-Perodua yang lain, ia berkongsi rupa asas badan yang sama. Jadi Theo mulakan merubah Yaris Cross kepada Nexis dengan merubah bahagian hadapan, menerapkan rekaan gril hadapan, lampu nyalaan siang LED yang diletakkan secara berdiri, menonjolkan bentuk-X pada muka seperti Myvi. Di belakang, kluster lampu Yaris Cross masih dikekalkan tetapi Theo menambah bar lampu untuk merentangi sepenuhnya pintu taligate. Logo-logo Toyota juga telah ditukar kepada logo Perodua, dan Theo turut ‘menampal’ emblem Nexis pada sebelah kiri pintu tailgate berkenaan. Berdasarkan spesifikasi yang telah dikeluarkan oleh Toyota, Yaris Cross dihasilkan dengan dimensi panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm dan juga jarak antara roda sejauh 2,620 mm. Toyota turut mengumumkan bahawa model ini mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 260 mm. Berdasarkan saiz ini, Yaris Cross/Nexis merupakan SUV yang lebih besar dari Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa dengan perbezaan 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar, 20 mm lebih rendah, dan jarak roda 95 mm lebih jauh. Jadi SUV baharu Perodua ini kelak bakal berhadapan terus dengan model seperti Proton X50 dan Honda HR-V. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, Yaris Cross adalah 20 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 6 mm lebih rendah berbanding Proton X50, namun hadir dengan jarak roda 20 mm lebih jauh dari SUV segmen-B dari Proton berkenaan. Toyota Yaris Cross 2023 pasaran Indonesia Bagi varian asas, Yaris Cross pasaran Indonesia dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 106 PS (105 hp atau 78 kW) dengan tork maksima 138 Nm, iaitu enjin yang sama boleh ditemui pada Perodua Myvi dan juga Alza. Ia dipadankan dengan pilihan kotak gear CVT dan juga manual lima kelajuan, bergantung pada penawaran varian. Jadi dengan hanya enjin 1.5L NA, bagaimana Nexis boleh menjadi saingan terus terhadap X50 yang dijana enjin 1.5L Turbo? Di Indonesia, Yaris Cross juga sebenarnya ditawarkan dalam versi hibrid untuk varian tertinggi. Unit rangkaian kuasa tersebut menggandingkan enjin petrol kitaran Atkinson 2NR-VEX 1.5 liter NA berkuasa 91 PS (90 hp atau 67 kW) dan tork 121 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm. Tidak mustahil Nexis akan menjadi model pertama Perodua yang menggunakan unit rangkaian kuasa hibrid ini (Ativa hybrid yang diperkenalkan dalam program langganan sebelum ini merupakan Daihatsu Rocky sebenar dari Jepun yang diganti dengan logo Perodua). Ia padan dengan beberapa petunjuk sebelum ini di mana Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mengesahkan bahawa model hibrid pertama Perodua akan dilancarkan pada 2024, dan ia adalah model baharu sepenuhnya, bukan varian atau facelift dari model-model sedia ada. Di Indonesia, Yaris Cross ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan varian asas Yaris Cross G dijual pada harga 351 juta rupiah (RM109k), diikuti Yaris Cross S berharga IDR407.7 juta (RM126.7k) dan varian tertinggi Yaris Cross S HV dijual pada harga IDR440.6 juta (RM136.9k). Berdasarkan konteks tersebut dan mengambilkira kedudukan barisan produk Perodua (Ativa dijual pada harga bermula RM62,500 sehingga RM72,600), kami jangkakan Nexis mungkin dijual pada harga asas RM73,000 atau lebih murah dari varian paling murah Proton X50 yang dijual pada harga RM86,300. Perincian-perincian pada Yaris Cross juga mungkin boleh membayangkan apa yang akan diterima oleh Nexis di Malaysia kelak. Bagi varian tertinggi Yaris Cross S HV, ia dibekalkan dengan lampu hadapan LED, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sembilan inci menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar dan brek parkir elektronik (dengan auto brake hold). Yaris Cross dengan kelengkapan paling lengkap di Indonesia itu juga diberikan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem seperti Amaran dan Brek Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik), Amaran dan Pengelak Keluar Lorong, cruise control adaptif, Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan, Kawalan Kekal Lorong dan Lampu Tinggi Automatik. Setakat ini bagaimana? Adakah anda berharap rupa SUV D55B nanti kelak tidak jauh dari apa yang dibayangkan oleh Theo ini? Dan adakah mahu ia kekal dengan nama Nexis atau Perodua perlu memberikan nama lain untuk SUV yang lebih canggih ini? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.
Jualan kenderaan di M’sia pada Mei 2023 naik 32.7%
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk bulan Mei 2023, menyaksikan sejumlah 61,795 unit kenderaan telah dihantar kepada pembeli. Ini melibatkan kenaikan sebanyak 32.7% berbanding bulan April 2023 dengan mencatatkan jualan sebanyak 46,583 unit. Menurut MAA, terdapat beberapa faktor yang mendorong kenaikan angka tersebut, termasuklah syarikat kereta yang memenuhi tempahan tertunggak serta pelancaran model baharu. Untuk prestasi tahunan, jumlah kenderaan yang terjual pada Mei 2023 adalah 22% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, yang mencatatkan jualan sebanyak 50,663 unit. Untuk jumlah keseluruhan setakat ini (untuk lima bulan prtama 2023), ia mencatatkan sebanyak 300,978 unit, iaitu 12.3% lebih tinggi berbanding yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu. Untuk bulan Jun 2023, MAA menjangkakan jumlah jualan akan kekal seperti mana Mei 2023 berdasarkan permintaan terhadap kenderaan baharu dari tempahan yang tertunggak masih tinggi walau pun jumlah pendaftarannya mungkin agak sederhana. Untuk produksi pula, Mei 2023 menyaksikan sebanyak 64,930 unit kenderaan telah dikeluarkan, iaitu melebihi rekod pada April 2023 dengan 41,160 unit dan meningkat 32% berbanding Mei 2022. Bagi rekod pengeluaran setakat Mei 2023 pula mencatatkan sejumlah 304,484 unit, iaitu 18% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Nissan Sylphy facelift 2024 diperkenalkan di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, 2.0L NA 149 hp/198Nm
Selepas China, kini giliran Amerika Syarikat pula menerima Nissan Sylphy facelift yang diberikan rupa lebih segar bersama beberapa tingkat taraf perincian. Di negara berkenaan, Sylphy dikenali dengan Sentra, dan ia hadir dalam varian S, SV dan SR, bakal dijual bermula akhir musim panas nanti. Sentra facelift 2024 ini masih dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder NA yang menghasilkan 149 hp dan tork maksima 198 Nm. Namun menurut Nissan, kotak gear Xtronic CVT pada model baharu ini ditala semula bagi mendapatkan paten tukaran gear lebih lancar serta memberikan lebih penjimatan bahan api. Gandingkan itu juga kini diberikan sistem Idle Stop Start yang akan mematikan enjin secara automatik ketika dalam keadaan kelajuan pepura, dan menghidupkannya kembali untuk mula bergerak secara automatik, bagi memberikan lebih penjimatan petrol. Ini merupakan satu-satunya pilihan unit rangkaian kuasa untuk Sentra di AS. Berbeza dengan pasaran China yang menawarkan pilihan enjin petrol penuh 1.6L NA berkuasa 135 PS/159 Nm, dan juga model hibrid e-Power yang dibekalkan dengan enjin petrol 1.2L hanya untuk mengecas bateri hibird sementara roda hadapan dipacu sepenuhnya dengan motor elektrik berkuasa 136 PS/300 Nm. Dari segi rupa pula, muka Sentra ini jelas berubah menerusi pemadanan gril dan bampar baharu. Kluster lampu hadapan masih nampak sama, tetapi grafik dalaman telah berubah – tiada lagi jalur LED untuk lampu nyalaan siang berbentuk-J, dan diganti dengan unit yang nampak seperti anak panah pada sebelah dalam. Kemasan berbentuk-U pada gril V-Motion Sentra ini pula digantikan dengan gril menampilkan elemen melintang seperti Almera facelift dan Serena C28. Perumah lampu kabus berbentuk-L juga kini sudah tiada lagi, dan ia diganti dengan liang udara palsu berbentuk segi tiga. Rekaan sisi Sentra 2023 ini masih lagi sama, cuma yang nampak berbeza adalah rekaan set rim baharu yang ditawarkan dari 16-inci sehingga 18-inci, bergantung varian. Manakala di belakang, rekaan yang berbeza hanyalah pada bahagian bawah bampar yang kini diberikan rekaan liang udara palsu yang lebih lebar. Pada sebelah dalam, tiada sebarang perubahan ketara dapat dilihat. Ia masih menggunakan rekaan papan pemuka, roda stereng rata di bawah, konsol tengah, tempat duduk Zero Gravity dan sebagainya sama seperti model sebelum itu. Secara standard ia dipadankan dengan skrin pelbagai info 4.2-inci, skrin sesentuh infotaimen bersaiz 7-inci dengan sokongan Apple Carplay, Android Auto, Siri Eyes-Free, sistem arahan suara Google Assistant serta empat pembesar suara. Manakala bagi varian lebih tinggi Sentra SV dan SR, ia diberikan skrin lebih besar bersaiz lapan-inci dan enam pembesar suara, tambahan port USB Type-C serta radio satelite SiriusXM, serta paparan instrumen digital Advanced Drive-Assist Display dengan skrin 7-inci. Bagi model SV Premium pula, Sentra turut datang dengan pemantau sekeliling pintar serta sistem audion premium dari Bose dengan lapan-pembesar suara. Manakala untuk keselamatan, kesemua varian menerima sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360 merangkumi sistem seperti brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran keluar lorong, bantuan lampu tinggi dan brek belakang automatik. Ia juga datang standard dengan amaran pelanggaran pintar hadapan, bantuan haptik stereng dan juga amaran audio bagi memberikan amaran berkesan kepada pemandu. Sistem bantuan keselamatan lain yang turut ditawarkan termasuk cruise control adaptif dan juga amaran pintu belakang yang mengingatkan pemandu agar tidak lupa dengan barang yang diletak di tempat duduk belakang ketika keluar dari kereta. Nissan Sylphy generasi terkini ini muncul buat pertama kali pada tahun 2019 di China, dan kemudian berjaya menjadi model paling laris di negara berkenaan setahun selepas itu. Model ini pernah dirancang untuk di bawa masuk ke Malaysia oleh Edaran Tan Chong Motors (ETCM) dengan petunjuk diumum pada tahun 2020, namun sehingga sekarang masih lagi tidak nampak petanda sama ada ia akan dilancarkan di sini atau tidak.
UMW Toyota bakal lancarkan Innova Zenix 21 Jun ini
Laman web rasmi UMW Toyota hari ini mula menunjukkan serta membuka pendaftaran minat kepada semua model baru yang bakal dilancarkan sedikit masa lagi. Dan, tempoh singkat pelancaran yang terpapar dalam iklan berkenaan mencadangkan bahawa pengenalan model terbabit bakal berlangsung dalam dua hari lagi, iaitu pada Rabu. Jadi model apakah itu nanti? Bukan lagi rahsia, jika berdasarkan penglihatan kelibat model baru Toyota yang sudah pernah dilihat di jalan raya Malaysia, model berkenaan ialah Innova Zenix, yang dilihat pada Mei lalu, yang ketika itu berada di atas lori pengangkut, mungkin untuk dihantar ke bilik-bilik pameran Toyota. Innova Zenix juga telah membuat kemunculan sulung globalnya di Indonesia pada November 2022. Untuk pasaran di sana, model tersebut merupakan gantian bagi Innova generasi terdahulu itu dan tidak lagi berkongsi casis Ladder Frame IMV seperti trak pikap Toyota Hilux, sebaliknya ia kini jauh lebih canggih — menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dalam varian GA-C. Jadi, sangat berkemungkinan masa untuk pengenalannya di Malaysia pula sudah tiba. Di Indonesia, Innova Zenix ini hadir dalam versi petrol penuh dan juga hibrid. Bagi model petrol, ia memanfaatkan enjin M20A-FKS 2.0 liter empat-silinder berkuasa 174 PS dan tork maksima 205 Nm — jauh lebih berkuasa dari enjin 1TR-FE 2.0L model sebelum ini yang menjana 139/183 Nm. Manakala bagi model hibrid pula menggandingkan enjin Dynamic Force 2.0 liter berkuasa 152 PS dan tork maksimum 187 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 113 PS dan tork maksima 205 Nm — menghasilkan kuasa 186 PS secara keseluruhan. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri logam-nikel hidrida (Ni-MH) yang diletak di bawah kedua-dua tempat duduk hadapan. Bagaimana pula penawarannya untuk Malaysia? Itu kita perlu tunggu perincian lanjut selepas model ini dilancarkan kelak. Yang pasti, ia kelihatan sudah semakin hampir.
Mazda CX-60 2023 dilancarkan di Filipina – 3.3T hibrid ringkas, 8AT, AWD; dari RM231k; bakal tiba di M’sia?
Mazda CX-60 telah pun diperkenalkan di pasaran ASEAN buat pertama kalinya dan Filipina dipilih sebagai lokasi pertamanya untuk rantau ini. Untuk negara berkenaan, ia ditawarkan dengan dua varian, dengan harga bermula PHP2.79 juta (sekitar RM231k). SUV ini pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada hujung Mac lalu dan merupakan model pertama bagi Mazda yang dibangunkan dengan Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dengan platform enjin hadapan yang diletakkan secara menegak dengan bentangan pacuan roda-belakang. Dengan harga permulaan itu, yang sama dengan CX-9 tiga-barisan tempat duduk di sana, varian asasnya, 3.3L 8AT AWD HEV Turbo dijanakan enjin 3.3 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris petrol yang digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda i-Activ. Turut digelar penjana kuasa e-Skyactiv G, enjin ini dipacukan oleh sistem hibrid ringkas 48-voltan M Hybrid Boost yang menampilkan motor elektrik/generator antara enjin dan kotak gear. Di mana ia dijanakan oleh bateri lithium-ion 0.33-kWh, dan kuasa keseluruhannya mencecah 284 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 450 Nm dari 2,000 hingga 3,500 rpm. Turut ditawarkan di Filipina ialah varian 3.3L 8AT AWD HEV Turbo-D Sport yang dijual pada harga PHP2.89 juta (about RM238.8k). Ia turut diberikan penjana kuasa hibrid ringkas, automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda, tetapi enjin e.-Skyactiv 3.3 liter enam-silinder sebaris turbodiesel ini menghamburkan kuasa cecah 254 PS pada 3,750 rpm dan 550 Nm dari 1,500 hingga 2,400 rpm. kedua-dua varian mempunyai angka kelajuan maksimum yang sama iaitu 219 km/j, tetapi versi petrol lebih pantas bila memecut dari 0-100 km/j dengan hanya 6.9 saat berbanding versi diesel dengan catatan 7.3 saar. CX-60 diberikan Mi-Drive secara standard yang menawarkan empat mod pemanduan (Normal, Sport, Off-Road dan Towing), bersama Off-Road Traction Assist, Kinematic Posture Control dan sistem berhenti melahu i-Stop. Untuk pengetahuan anda, model CX-60 berada di posisi di atas CX-5. Ia memiliki ukuran 4,745 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak rodanya cecah 2,870 mm, serta CX-60 lebih besar berbanding CX-5, tetapi lebih pendek sebanyak 195 mm dan lebih sempit sebanyak 50 mm serta jarak rodanya lebih pendek cecah 170 mm. Kedua-dua SUV ini berkapasiti lima-tempat duduk dan menawarkan ruang but cecah 570 liter dengan kedudukan tempat duduk belakang normal. Varian CX-90 juga diberikan sentuhan gaya luaran yang berbeza pada bahagian gril, dengan versi petrol lebih sporty diberikan kemasan jenis palang hitam berkilat, sementara versi diesel pula dengan struktur honeycomb hitam berkilat. Selain itu, luaran varian diesel juga menampilkan serlahan krom hitam pada pemegang pintunya, berbanding warna yang sama dengan badan untuk varian petrol. Imej “dark” pada versi diesel dilengkapkan dengan penampilan roda aloi aluminium 20-inci dengan kemasan hitam metalik, sementara versi petrol bersama kemasan potongan berlian untuk rekaan aloinya. Di dalamnya pula, varian petrol menerima kulit Nappa hitam dan kemasan perak, manakala diesel dengan kulit Nappa tan yang dipadankan bersama quilted Leganu suede serta kemasan graphite dan gunmetal. Lain-lain ciri untuk kedua-dua varian adalah lebih kurang sama. Kit standard untuk CX-60 termasuklah lampu utama LED adaptif, lampu nyalaan siang LED, bumbung suria kaca panoramik, liftgate bukaan elektrik dengan akses bebas-tangan, tempat duduk larasan kuasa dengan pengaliran bersama fungsi memori untuk bahagian pemandu, kawalan suhu dwi-zon dengan corong belakang, sistem masuk/keluar pemandu, pencahayaan ambien, pengecas tanpa wayar dan kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin. Selain itu, ia turut diberikan sistem infotainmen Mazda Connect yang disambungkan dengan skrin sesentuh 12.3-inci dan menawarkan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto dengan wayar serta sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara. Ia turut diberikan kluster instrumen digital 123-inci dan juga paparan head-up 10.4-inci dengan fungsi windshield-projected. Bermaz Auto Philippines menawarkan tujuh warna iaitu Rhodium White, Soul Red Crystal, Platinum Quartz, Jet Black, Sonic Silver, Machine Gray dan Deep Crystal Blue. Walau bagaimana pun, jika memilih Machine Gray akan dikenakan kos tambahan sebanyak PHP16,800 (RM1,388), manakala Soul Red Crystal dan Rhodium White pula dengan tambahan PHP22,400 (RM1,850). Risalah spesifikasi Mazda CX-60 2023 untuk Filipina; klik untuk besarkan Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, CX-60 didatangkan ciri standard dengan tujuh beg udara, kamera 360-darjah, kawalan menurun bukit dan ciri pasif termasuk ABS, DSC, bantuan mula mendaki dan banyak lagi. Sementara itu, i-Activsense pula merangkumi Sokongan Brek Pintas (AEB) hadapan dan belakang, amaran ketibaan lorong, pemantuan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan pemandu dan kepekaan perhatian pemandu. CX-60 juga mewakili Mazda untuk menerjah premium termasuk bersaing dengan BMW X3 yang ditawarkan pada harga dari PHP3.89 juta (sekitar RM321k) di Filipina. Buat masa ini, Bermas Motor (pengedar rasmi Mazda di Malaysia) belum mengesahkan adakah CX-60 akan dibawa ke pasaran tempatan mahu pun tidak. Walau bagaimana pun, jika ia dibawa masuk ke Malaysia, sudah tentu CX-90 lebih mahal berbanding CX-5 dan CX-8 (SUV tiga barisan tempat duduk). Seperti harganya di Filipina iaitu PHP2.79 million (RM231k) bagi CX-60, manakala varian tertinggi CX-5 pula RM183,760.40 dan CX-8 mencecah RM213,122.80. GALERI: Mazda CX-60 2022
Yamaha Tracer 9 GT pasaran Malaysia kini ditawarkan dalam dua warna baru – RM70k tidak termasuk beg
Yamaha Tracer 9 GT yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada November tahun 2021 kini diberikan pembaharuan grafik dengan sekarang ditawarkan dalam warna Pure White dan Midnight Black. Harga cadangan yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) adalah RM69,998 tidak termasuk insurans. Selain penampilan, bahagian lain serta kelengkapan motosikal ini tidak diubah, bermula dengan enjin yang menggunakan unit tiga silinder Crossplane 3 berkapasiti 890 cc dengan jumlah kuasa 117 hp pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan klac jenis assist and slipper. Unit IMU digunakan untuk mengawal sistem elektronik pada motosikal ini, termasuk mod tunggangan (semuanya ada empat mod), Cruise Control, Traction Control (tiga tahap), Slide Control (tiga tahap), Wheelie Control (tiga tahap) dan pilihan manual untuk melaras semua ciri ini pada tahap yang dimahukan. Untuk brek, di hadapan Tracer 9 GT menggunakan set berkembar cakera 298 mm manakala di belakang terdapat cakera 245 mm. Sistem ABS disediakan dalam dua mod yang boleh ditukar oleh penunggang sementara rim pula adalah unit 17 inci dengan tayar 120/70 dan 180/55. Di bahagian kokpit terdapat panel paparan TFT-LCD yang berbentuk petak dan dibahagikan kepada dua. Informasi berkenaan laju, tahap rpm, tahap minyak dan kedudukan gear ditunjukkan di bahagian kiri manakala bahagian kanan terdapat paparan seperti jarak perjalanan, suhu dan pelbagai lagi. Semua lampu model ini menggunakan unit LED. Sebagai versi GT, suspensi Kayaba yang terdiri daripada fork USD 41 mm dan monoshock di belakangnya boleh dilaras sepenuhnya secara elektronik dan diberikan dengan quickshifter serta pemanas tangan. Walaubagaimanapun, beg barangan tidak didatangkan sekali dan dijual sebagai pilihan tambahan.
Suzuki Jimny Rhino Edition tiba di Malaysia – RM175k
Satu varian baru bagi Suzuki Jimny dilancarkan oleh Naza Eastern Motors untuk pasaran Malaysia, iaitu Jimny Rhino Edition. Model ini hanya terhad kepada 30 unit dan dijual pada harga RM174,900 tidak termasuk insurans. Jimny Rhino Edition datang dengan warna badan utama Pure Pearl White, dan diserlahkan dengan pelekat berwarna hitam, kelabu dan merah di tepi dan atas hud. Anda juga akan dapat melihat tulisan ‘Real Offroader’ di bahagian tepi kenderaan. Konsep Rhino atau badak sumbu ini sebenarnya sudah digunakan pada Jimny SJ generasi kedua lebih 40 tahun dulu dan sekarang ia diterapkan kepada model terkini. Selain pelekat dengan bentuk binatang tersebut, ia juga digunakan sebagai lencana di bahagian belakang Jimny ini. Kelengkapan istimewa lain yang diberikan pada Jimny Rhino Edition ini adalah termasuk gril khas tanpa kemasan menegak di bahagian tengahnya, cermin sisi krom, penahan lumpur warna merah dengan tulisan Jimny, pelindung differential depan dan belakang, serta penghadang angin. Bagi pemilik Jimny generasi keempat sedia ada, mereka juga boleh mendapatkan kit Rhino yang memberikan kelengkapan sama seperti Jimny Rhino Edition, dijual oleh Naza Eastern Motors pada harga RM15,000 melalui pengedarnya di Petaling Jaya. Bahagian mekanikal Rhino Edition ini masih sama seperti Jimny biasa, iaitu menggunakan enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter VVT bersama transmisi automatik empat kelajuan dan sistem pacuan empat roda separuh masa, menghasilkan kuasa 100 hp pada 6,000 rpm dan 130 Nm pada 4,000 rpm. Senarai kelengkapan lain juga adalah sama, seperti lampu utama LED, rim 15 inci, skrin sesentuh tujuh inci dengan sambungan Apple CarPlay, dua pembesar suara, pendingin hawa automatik satu zon, dua beg udara, ABS, Brake Assist, Stability Control, Hill Start Assist dan Hill Descent Control.
Hayden Haikal dinobat juara keseluruhan Junior Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand!
Pelumba muda touring car negara, Hayden Haikal telah mencapai sasarannya untuk menjadi juara keseluruhan Idemitsu Super Turbo Championship 2023 untuk kelas Junior (enjin NA berkapasiti sehingga 1,550 cc) di Thailand, selepas memenangi dua perlumbaan terakhir dalam pusingan ketiga kejohanan tersebut yang berlangsung pada hujung minggu lalu. Sebelum bermulanya perlumbaan bagi pusingan ketiga dan juga terakhir untuk musim 2023 tersebut, Hayden sudahpun mendahului carta pungutan mata dengan kelebihan satu mata berbanding pesaing terdekat dengan mendominasi siri ini, menang 3 dari empat perlumbaan yang telah berlangsung pada pusingan pertama dan kedua. Penguasaan Hayden diteruskan pada perlumbaan pusingan terakhir yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram pada 17 dan 18 Jun lalu, dengan memenangi kedua-dua Race 1 dan Race 2. Ini membolehkan Hayden yang memandu Toyota Vios bernombor #437 pasukan Wing Hin Motorsport berkenaan mengutip 88 mata dengan menang 5 dari 6 perlumbaan secara keseluruhan. Hayden berhadapan cabaran sengit dari pelumba tempatan, Warunyoo Sangla dalam perlumbaan hujung minggu lalu yang memimpin kedua-dua perlumbaan pada peringkat awal. Namun Hayden mampu memintas Waruyoo dalam kedua-dua perlumbaan tersebut untuk menjadi juara, sementara pelumba Thai berkenaan kekal di tempat kedua. Kemenangan Hayden dalam perlumbaan tersebut merupakan kejayaan yang bersejarah buatnya, bukan hanya kerana ia kejuaraan peringkat antarabangsa pertama yang dimenanginya, malah ia dikecapi hanya dalam penyertaan musim pertamanya dalam kejohanan tersebut. “Saya berasa sangat gembira kerana (kemenangan juara keseluruhan di Thailand) ini telah menjadi salah satu sasaran saya sejak saya mula berlumba di Thailand tahun lalu. Saya rasa sangat lega kerana telah menang akhirnya, selepas hampir menjadi juara dalam Thailand Super Eco Series tahun lepas”, kata Hayden. Hayden masih lagi berlumba dalam Thailand Super Eco Series untk musim 2023, dan dilihat berpotensi untuk mengecapi gelaran juara keduanya di Thailand tahun ini menerusi siri perlumbaan tersebut. “Hampir semua kredit perlu diberikan kepada pasukan Wing Hin Motorsport yang bertungkus lumus bagi menempatkan Vios yang memenangi kejuaraan ini di atas grid dan percaya kepada saya untuk mendapatkan kejayaan bagi kempen perlumbaan pertama mereka di Thailand. Sangat hebat rasanya apabila dapat membalas jasa mereka untuk semua kerja keras yang telah dicurah dengan memenangi gelaran juara,” tambah Hayden.
Lebuhraya CSR Pakej 5A dan 5B dibuka mulai 25 Jun; 500k kenderaan dijangka melaluinya Aidiladha ini
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengesahkan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (Central Spine Road atau CSR) akan mula dibuka kepada pengguna pada 25 Jun 2023. Di mana laluan berkenaan melibatkan keseluruhan jajaran jalan di dalam CSR Pakej 5B dan sebahagian jajaran jalan di dalam CSR Pakej 5A, melalui susur keluar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub. “Kerja-kerja pembinaan berkenaan dijangka siap pada hujung tahun ini, tetapi saya mengarahkan Jabatan Kerja Raya, menyegerakan arahan kepada kontraktor menyiapkannya sebelum Aidiladha. Ini kerana kita mengambil kira lebih 500,000 kenderaan akan melalui laluan itu, terutama perantau dari Kelantan pada hari raya ini,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama. Tambah beliau, pembinaan lebuh raya sepanjang 17 kilometer tersebut dijangka akan menjimatkan perjalanan pengguna selama 40 minit, kerana tidak perlu lagi melalui bandar Raub. “Walaupun lebuh raya tersebut belum siap sepenuhnya, kita harap pembukaan susur keluar ini akan memberi keselesaan kepada pengguna, terutama dari Pantai Timur,” katanya sambil menambah satu lagi seksyen yang berhampiran lebuh raya berkenaan, akan dibuka pada September depan melalui susur keluar persimpangan kawasan perindustrian Raub. Pembinaan Lebuhraya CSR dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur fasa 1 (LPT1) melibatkan laluan sepanjang 306.8 kilometer dengan kos RM7.3 bilion. Ia membabitkan enam pakej dengan empat daripadanya iaitu lebih 200 kilometer terletak dalam Pahang bermula dari Kampung Relong di Kuala Lipis.
JPJ eBid: Siri ANB dan TCT dibuka bidaan
Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Perak dan Terengganu bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid. Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, ANB, sedang dibuka bidaan sejak 10 Jun 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 14 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 15 Jun 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel. Manakala siri nombor pendaftaran terkini Terengganu, TCT, bakal dibuka bidaan mulai 14 Jun 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 18 Jun, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 19 Jun 2023. Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.
TASKL 2023: Van & MPV turut meriahkan suasana
Jika anda berkunjung ke acara sebenar Tokyo Auto Salon (TAS) yang berlangsung di Jepun, dewan Makuhari Messe berkenaan bukan hanya dipenuhi oleh kereta-kereta sport, ia turut dimeriahkan dengan pelbagai barisan kenderaan ubahsuai lain seperti SUX, 4X4, Kei-Car, MPV, Van dan lain-lain. Oleh itu bagi memberikan vibe sebenar TAS ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hujung minggu lalu, penganjur acara berkenaan turut menyediakan ruang untuk mempamerkan pelbagai MPV dan Van yang diubahsuai. Seperti biasa, ia didominasi oleh kenderaan-kenderaan keluaran Toyota yang menguasai pasaran tempatan dalam segmen masing-masing iaitu MPV mewah Toyota Alphard dan Vellfire dari generasi AH30 dan juga van Toyota Hiace dari generasi H200. Untuk Alphard dan Vellfire, unit-unit yang dipamerkan tersebut rata-rata menerima kit-kit badan lebih labuh dan agresif, digandingkan dengan rim-rim gergasi serta badannya boleh direndahkan hampir ke permukaan bumi menerusi penggunaan sistem suspensi udara. Manakala untuk Van, hampir kesemua Hiace berkenaan diubahsuai dengan inspirasi van-van dari Thailand yang menampilkan warna-warna badan menarik, set rim yang besar, badan yang direndahkan serta bahagian dalaman yang diberikan imej lebih mewah. TASKL 2023 ini diadakan selama tiga hari di MITEC bermula Jumaat lalu iaitu 9 Jun, dan berakhir pada pukul 10 malam Ahad lalu, 11 Jun 2023. Menurut penganjur, acara berkenaan telah berjaya menarik lebih dari 91,000 pengunjung sepanjang ia berlangsung.
FF1 bernilai RM1.2j dimiliki Sultan Johor – kutipan tertinggi untuk satu nombor plat kenderaan setakat ini
Nombor plat kenderaan dari siri FF yang menerima sambutan amat menggalakkan sewaktu ia dibuka bidaan menerusi JPJ eBid pada Mei lalu telah berjaya memperoleh keuntungan mencecah RM35.4 juta. Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi Facebook rasminya tengahari tadi selepas selesai menghadap DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar untuk mempersembahkan secara simbolik nombor plat FF 1 kepada Tuanku yang merupakan pemilik nombor khas unik tersebut. “Tuanku telah perkenan untuk membayar kepada kerajaan sebanyak RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut. Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan!,” kata Loke. Pada hujung Mei lalu, Loke telah mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran dari Putrajaya itu berjaya menjana hasil kutipan tertinggi dalam sejarah nombor pendaftaran JPJ dengan jumlah RM34,296,327. Ketika itu, menurut beliau, nombor pendaftaran FF 8 menerima nilai bidaan tertinggi mencecah RM950,000, diikuti dengan FF 9 bernilai RM911,999. Manakala nombor pendaftaran FF yang turut menerima bidaan tertinggi ialah FF 3 (RM639,000), FF 2 (RM638,000) dan FF 7 (RM633,000). Sebelum ini, baginda Sultan Johor juga berjaya mendapatkan siri nombor ‘F 1’ dan ‘V 1’, yang masing-masing berharga RMRM836,660 dan RM990,000. Kedua-dua nombor pendaftaran itu juga merupakan antara Top 20 nombor pendaftaran kenderaan yang termahal setakat ini. Dan nampak gayanya nombor pendaftaran ‘FF 88’ yang bernilai RM510,000 terkeluar dari kedudukan terakhir carta Top 20 tersebut selepas ‘FF 1’ yang bernilai RM1.2 juta itu berjaya memintas kedudukan Malaysia 1 (RM1,111,111) di posisi pertama pertama.
TASKL 2023: Koleksi replika kereta watak Initial D dipamerkan; AE86, RX-7, Subaru WRX dan banyak lagi
Satu perkara yang tidak boleh dipisahkan dari scene dunia modifikasi Japan Domestic Market (JDM), sudah tentulah siri animasi yang diadaptasi dari buku komik Initial D. Siri ini sudah diperkenalkan sejak pertengahan era 90’an, dan ia adalah antara penyebab mengapa sukan drift menjadi fenomena di seluruh dunia, dan juga model-model JDM tertentu khususnya Toyota Corolla AE86 yang dipandu oleh watak utamanya, Fujiwara Takumi menjadi mahal tidak masuk akal. Jadi sempena berlangsungnya Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2023, pihak penganjur acara tersebut telah menyediakan satu ruangan yang mengumpulkan kereta-kereta replika dari siri animasi tersebut. Paling dikenali sudah tentulah AE86 dalam versi Sprinter Trueno dengan warna “Panda” (hitam-putih), lengkap dengan pelekat “Fujiwara Tofu Ten” (kedai tauhu Fujiwara) pada sebelah pintu pemandu, dan juga rim “pisang” ikonik RS Watanabe. Namun untuk kereta-kereta lain, “replika” yang diletakkan bukanlah kereta yang benar-benar dibuat untuk menjadi sebuah replika sebenar. Contohnya Subaru Impreza WRX STI Type R berwarna biru yang diletakkan di sebelah AE86 tersebut yang tentunya menggambarkan jentera milik ayah Takumi iaitu Fujiwara Bunta, ia tidak dilengkapi dengan bampar hadapan STI Sport untuk GC8 yang menyerupai bampar model edisi terhad Impreza 22B, dan ia juga tidak dipakaikan dengan rim asli WRX STI Version V/VI. Tetapi masih ada kereta lain yang tampil dengan rupa hampir sama dengan jentera milik watak-watak dalam animasi berkenaan seperti dua buah Mazda RX-7 FC3S berwarna putih seperti milik Takahashi Ryosuke (masing-masing mewakili rupa kereta Ryosuke pada musim 1-2-3 dan 4-5-Final), sebuah Mazda RX-7 FD3S berwarna kuning dengan kit badan RE-Amemiya seperti jentera Takahashi Keisuke dan sebuah Honda Civic EG hatchback berwarna merah seperti milik Shoji Shingo. Barisan Honda Civic EK dan juga Integra DC2 yang dipamerkan juga agak menyerupai kereta-kereta yang dipandu ahli pasukan Todoo Racing School dalam animasi tersebut. Namun ada beberapa kereta yang mungkin terlalu rare tidak dapat dipamerkan disini seperti Mitsubishi Lancer Evolution IV milik Seiji Iwaki dari pasukan Emperor dan juga Nissan Sil80 Impact Blue yang dipandu oleh Sato Mako. Pihak penganjur turut ada menyediakan satu kadbod besar menyeraikan semua watak dalam Initial D bersama jentera mereka bagi memudahkan anda mengingati watak-watak berkenaan. Apa pun penulis sebagai peminat Initial D sendiri, agak seronok juga melihat kereta-kereta JDM yang digunakan dalam animasi tersebut ‘dilonggokkan’ dalam satu ruang. Jadi kalau anda nak tengok kereta replika Initial D ini, anda boleh datang sendiri ke TASKL 2023 yang berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula hari ini hingga 11 Jun nanti, dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam sepanjang hari penganjurannya.
Tren tambahan Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur disediakan – tiket dijual mulai 8 malam ini
KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan bakal membuka jualan tiket tambahan bagi perkhidmatan Tren Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) ke Pantai Timur sempena dengan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut hujung bulan ini. Ia melibatkan penambahan dua lagi perkhidmatan ELA melibatkan 952 tiket termasuk koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet, dan koc chillax. “Jualan tiket tambahan berkenaan akan mula dibuka jam 8 malam ini (9 Jun 2023) bagi memberikan peluang kepada orang ramai yang tidak berkesempatan mendapatkan tiket sebelum ini. Tiket akan dijual pada harga RM55 hingga RM83 bagi perjalanan sehala. “Perjalanan Tren ELA adalah pada 27 Jun yang melibatkan laluan KL Sentral ke Tumpat, dijadual berlepas pada jam 11 malam dan tiba 3.53 petang keesokan hari. Manakala laluan Tumpat ke KL Sentral bertolak pada 2 Julai 2023 jam 6 petang dan tiba jam 9.32 pagi keesokan hari,”kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.. Menurut KTMB lagi, tren ELA akan berhenti di 17 stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Kral, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat. Para pengguna disarankan membuat pembelian menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun menerusi Play Store, Apps Store atau Apps Gallery atau pun menerusi laman web www.ktmb.com.my.
Stesen Petronas baharu dibuka di laluan Sungai Dua-Permatang Pauh arah selatan di Lebuhraya PLUS
PLUS Berhad telah mengumumkan stesen Petronas bakal dibuka di laluan KM131.8 di antara Sungai Dua ke Permatang Pauh (arah selatan), Pulau Pinang. Stesen minyak berkenaan akan beroperasi sepenuhnya mulai esok, 10 Jun 2023, jam 10 pagi. Menurut PLUS, pembukaan stesen minyak ini diharapkan dapat memudahkan lagi urusan pengguna lebuhraya terutamanya yang memandu dalam perjalanan jarak jauh. Selain mengisi minyak kenderaan mahu pun menambah nilai kad Touch ‘n Go, anda juga boleh berhenti rehat di stesen minyak ini sambil membeli pelbagai juadah yang turut dijual, atau pun solat di surau yang disediakan. Tapi kalau hendak lelapkan mata seketika, seeloknya berhenti di kawasan Hentian Sebelah atau pun R&R berhampiran kerana kebiasaannya ruang parkir di stesen minyak agak terhad.
TASKL 2023: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor, hasil restorasi dari Nismo
Kita biasa dengar model-model Nissan dengan lencana Z-Tune, R-Tune atau S-Tune iaitu versi istimewa talaan sayap perlumbaan rasminya, Nismo kan? Tapi anda pernahkah anda dengar model Nismo dengan lencana J-Tune seperti Nissan Skyline GT-R R34 yang sedang dipamerkan di Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 ini? Kalau anda nak tahu, Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune ini adalah milik Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor (TPJ), dan ia adalah satu-satunya unit R34 J-Tune dalam dunia yang dihasilkan oleh Nismo Omori Factory di Jepun! Kereta ini dihasilkan di bawah program Nismo Restored Car, dan R34 J-Tune ini adalah unit pertama dalam dunia yang lahir menerusi program berkenaan. Nama “J-Tune” itu dipilih sendiri oleh Tunku Abdul Rahman untuk diabadikan pada R34 istimewa ini. Bagi mereka yang menghantar kereta ke Nismo Omori Factory untuk program ini, Nismo menawarkan khidmat restorasi bagi menjadikan kereta anda seperti baru keluar kilang, serta diberikan pilihan pelbagai pakej tingkat taraf. Jadi ketika R34 ini dihantar ke Omori Factory, Nismo membuka setiap komponen pada kereta berkenaan dan kemudian kerangka kosong tersebut dibaik pulih dan membuang segala karat yang ada. Selepas itu, proses sealing semula pada bahagian tertentu akan dilakukan seperti ia diproduksi dikilang dahulu dan Nismo akan pastikan kerangka berkenaan melepasi ujian ketegaran badan yang telah ditetapkan sebelum ia dicat semula. Enjin RB26DETT pada setiap Skyline GT-R yang menyertai program ini akan dileraikan untuk melakukan proses rombak rawat. Pelanggan bukan sahaja boleh memilih untuk menghasilkan semula enjin berkenaan dalam spesifikasi standard, malah turut boleh memilih pelbagai spesfikasi tingkat taraf seperti yang pernah diperkenalkan pada pelbagai model produksi tingkat taraf edisi terhad Nismo. Nismo menawarkan pelbagai siri talaan untuk enjin yang dirombak rawat ini seperti N2, N3 dan N4 menampilkan pelbagai angka kuasa dan keupayaan. Namun untuk J-Tune ini, spesifikasinya tidak diperincikan, tetapi ia dinyatakan diberikan talaan kuasa paling tinggi yang ditawarkan oleh Nismo dan kapasiti asal 2.6 liter dipertingkat kepada 2.8 liter. Selepas kesemua komponen tersebut dipasang, Nismo turut akan membuat ujian dyno statik bagi memastikan kuasa yang dihasilkan adalah optimum mengikut spesifikasi. Tidak cukup dengan itu, ujian prestasi turut dilakukan di litar dengan merekodkan masa lap yang dibuat oleh pemandu profesional. Apa yang isitimewa pada J-Tune ini, selain dari plat pada badan yang diberikan nombor siri “001”, Nismo turut meletakkan plat istimewa dengan tertera nama Tunku Abdul Rahman. Pada sebelah luar, R34 J-Tune ini hadir dengan kit aero Nismo terdiri dari bonet hadapan, fender hadapan, skirt sisi, dan diffuser belakang yang diperbuat dari gentian karbon. Ia turut diberikan bampar hadapan dari Nismo tetapi ia adalah komponen khas dengan “ukiran” J-Tune pada bahagian tapak plat pendaftaran hadapan. Badannya dicat dengan warna putih bersama grafik J-Tune pada bonet hadapan dan fender sisi hadapan, jalur serlahan merah pada bahagian sekeliling bawah badan, serta diberikan emblem J-Tune di belakang. Manakala untuk roda, ia diberikan rim BBS bersaiz 19-inci dengan tayar 275/30ZR19. Restorasi dan tingkat taraf turut dibuat pada bahagian kabin. Boleh dilihat papan pemuka telah dibalut semula dengan kulit dan diberikan jahitan benang merah, kerusi hadapan diganti dengan tempat duduk bucket perlumbaan gentian karbon dari Recaro dan disulam dengan logo J-Tune lengkap dengan tali pinggang perlumbaan, tempat duduk belakang dicabut serta dilengkapi dengan roda stereng Nismo balutan kulit dan Alcantara. Jadi kalau anda nak tengok kereta yang hanya ada sebuah dalam dunia ini (dan bukan selalu di bawa keluar!), anda boleh datang ke TASKL 2023 yang berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula hari ini hingga 11 Jun nanti, dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam sepanjang hari penganjurannya.
Nissan Almera, X-Trail, Serena, Leaf Tokyo Auto Salon Edition di M’sia – satu unit setiap model untuk dijual
Sempena dengan penganjuran acara pertunjukan automotif Tokyo Auto Salon (TAS) Kuala Lumpur 2023 yang telah membuka tirainya mulai hari ini, Nissan menerusi pengedar rasminya Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah memperkenalkan edisi khas TAS yang melibatkan empat modelnya di sini. Model terbabit iaitu Almera, Leaf, Serena dan X-Trail, yang dipertontonkan di MITEC ini dilengkapi dengan lencana “Tokyo Auto Salon KL Edition” dan menurut ETCM, hanya satu unit sahaja bagi setiap model dibuka untuk jualan. Jadi, ia berdasarkan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’. Bagi Almera TAS KL Edition, ia berdasarkan varian 1.0L Turbo VLT, yang ditawarkan pada harga RM105,888 (lebih RM10k berbanding varian standard VLT). Sedan segmen-B ini menerima sentuhan gaya ‘ala-Shinjuku’ dengan dua-tona warna Storm Grey dengan padanan bumbung hitam. Menyerlahkan lagi imej luarannya dengan menampilkan Tomei Aerokit yang merangkumi spoiler bampar hadapan, skirt sisi dan spoiler bampar belakang bersama GT Wing. Selain itu, ia juga menampilkan gril hadapan hitam berkilat dan roda aloi Nismo 17-inci yang dibaluti tayar Goodyear 215/45. Terdapat juga pelekat kecil “TAS KL Edition” yang ditampal pada wing hadapan dan bahagian but. Untuk bahagian dalamnya pula, Almera TAS KL Edition menerima tempat duduk balutan kulit Nappa hitam dengan jahitan merah. Papan pemuka juga dibaluti dengan material kulit hitam bersama jahitan merah, selain ditampilkan pelindung pemegang pintu “Tango”. Model elektrik Leaf juga menerima sentuhan khas TAS KL 2023, menyingkirkan imej ‘kawaii’ (comel), sebaliknya memberikan gaya yang sedikit garang. Ia diserlahkan dengan gaya ‘ala-Akihabara’ bersama dua tona warna Stealth Grey dengan bumbung Super Black dan serlahan merah pada lip hadapan dan skirt sisi. Ia tidak diberikan kit badan khas, namun ditampilkan dengan pelekat TAS KL dan juga pelindung pemegang pintu “Tango”. Leaf TAS KL 2023 ini ditawarkan pada harga RM168,888, sama harga dengan unit Leaf biasa. Serena TAS KL Edition pula berasaskan varian tertinggi Premium Highway Star. Unit tunggal TAS KL Edition bagi MPV ini diserlahkan dengan warna luaran Diamond Black dengan bumbung Silver. Imej luarannya tampak lebih garang dengan gaya ‘ala-Ginza’ bersama penampilan kit badan J-Impul Aerokit, roda IMPUL 18-inci dengan tayar 225/40, logo Impul dan pelekat TAS Edition. Untuk ruang kabinnya, MPV ini diberikan sentuhan kulit Nappa dengan kombinasi dua tona hitam-burgundy serta pelindung pemegang pintu “Tango”. Serena TAS KL Edition ini ditawarkan pada harga RM172,888, iaitu lebih RM10k berbanding versi asalnya. Model keempat dengan sentuhan TAS KL Edition ialah SUV X-Trail yang cukup bergaya ‘ala-Roppongi’, yang diberikan dua tona warna Diamond Black dan bumbung Silver. Menyerlahkan lagi imej sporty SUV ini dengan Tomei Aerokit, gril hadapan hitam berkilat, spoiler bumbung, dan roda aloi Nismo LMX6 18-inci dengan tayar 235/55. Untuk kabinnya, ia diberikan tempat duduk balutan kulit Nappa rona maroon, papan pemuka balutan kulit juga rona maroon, pad lutut, pelekat TAS KL dan pelindung pemegang pintu “Tango”. Harganya pula mence ah RM161,888. Selain mempamerkan model TAS KL 2023 ini, ETCM turut menjual kelengkapan aksesori dan komponen yang dikeluarkan oleh Impul, Tomei dan Nismo.
TASKL 2023: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R; satu badan karbon, RB30, turbo besar pasu!
Hari ini kami bersiaran langsung dari Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sempena berlangsungnya Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2023. Mungkin ada yang bertanya, apa yang best ada di sini? Nissan Skyline GT-R R32 milik Garage Active dari Jepun ini adalah satu sebabnya. Seperti yang anda boleh lihat, R32 yang diberi nama Carbon-R ini bukan hanya disumbat dengan enjin yang begitu berkuasa, malah ia juga dibina semula dengan menampilkan panel-panel badan sepenuhnya yang diperbuat dari bahan ringan gentian karbon! Kit badan ini dibina sepenuhnya oleh Garage Active dan ia melibatkan bahagian luaran yang komprehensif terdiri dari bampar hadapan dan belakang, bonet hadapan dan but belakang, cermin sisi, lips spoiler belakang, bumbung, pintu, dan kesemua fender yang telah dilebarkan – pendek kata, tiada langsung panel logam atau plastik pada bahagian luar R32 ini dan kesemuanya telah digantikan dengan panel gentian karbon sebenar. Ini secara tidak langsung mengurangkan berat GT-R R32 berkenaan dari 1,430 kg kepada hanya 1,395 kg, walaupun telah menerima pelbagai lagi kelengkapan ubahsuai. Apa yang lagi menarik, panel-panel karbon berkenaan turut disembur dengan warna ikonik Skyline GT-R iaitu Midnight Purple – atau lebih spesifik Midnight Purple III dari Skyline GT-R R34 – tetapi ia masih mendedahkan dengan jelas corak tenunan gentian karbon tersebut. Dalam bonet hadapan, ia tidak lagi menempatkan enjin asal RB26, tetapi dia telah diganti dengan versi yang dibina semula sepenuhnya oleh HKS dikenali dengan dengan nama RB30. Seperti namanya, enjin tersebut masih menampilkan konfigurasi asal enjin siri RB Nissan iaitu enam silinder sebaris, namun kapasitinya telah meningkat dari 2.6 liter kepada 3.0 liter! Segala isi perut enjin RB30 tersebut seperti omboh, aci engkol, aci sesondol, injap, spring injap dan sebagainya adalah komponen yang dibina oleh HKS. Dengan digandingkan bersama pengecas turbo HKS75115BB, enjin berkenaan kini bernafas dengan 1,000 hp. GT-R ini masih mengekalkan sistem pacuan semua roda, tetapi transmisinya telah menerima sentuhan semula bagi membolehkan ia menampung kuasa sekitar empat kali ganda dari jumlah asal. Ia menggandingkan kotak gear sequential enam-kelajuan OS-88 dari OS Giken bersama set klac karbon ATS Max. Manakala pada gandar hadapan dan belakang unit-unit LSD asal telah ditukar kepada LSD karbon juga keluaran ATS. Untuk suspensi, komponen utama yang digunakan juga dari HKS, menampilkan penyerap hentak HKS Hipermax IV SP Drag. Manakala kesemua ruang roda yang telah dilebarkan menerima set roda yang terdiri dari rim SS-Active RC-V1 bersaiz 1-inci dengan lebar 12-inci, dibalut dengan tayar 295/30/R18. Pengaruh jentera lumba jelas kelihatan dalam kabin R32 Carbon-R ini dimana semua upholsteri kulit telah digantikan dengan Alcantara. Tempat duduk belakang telah dicabut keluar manakala tempat duduk hadapan pula diganti dengan kerusi perlumbaan Recaro RMS yang juga diperbuat dari karbon kering. Selain itu, roda stereng asal turut telah dicabut bagi digantikan dengan roda stereng “deep dish” dari Renown, manakala barisan meter “tiga beradik” dari Defi diletak pada konsol tengah papan pemuka. Kabin R32 ini turut dilindungi oleh set rollcage yang dibina oleh Garage Active. Walaupun ia kelihatan seperti kokpit jentera lumba sebenar, Skyline GT-R R32 Carbon-R ini masih dilengkapi dengan sistem pendingin hawa. Sistem berkenaan adalah kit yang dibangunkan sendiri oleh Garage Active khas untuk R32, digelar sebagai Active R134 Air Conditioner kit. Jadi kalau anda nak tengok jentera yang pernah dipamerkan di acara SEMA 2021 di Amerika Syarikat ini, jangan lupa datang ke TASKL yang berlangsung di MITEC bermula hari ini sehingga Ahad, 11 Jun nanti. Ia dibuka bermula 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari penganjurannya.
JPJ eBid: Siri BRM dan VKY dibuka untuk bidaan
Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid. Siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRM, telah pun dibuka bidaan sejak 7 Jun lalu dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 11 Jun. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 12 Jun 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel. Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, VKY, bidaannya mula dibuka hari ini, 9 Jun. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 13 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 14 Jun 2023 ini. Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.
Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam pengangkutan awam mulai 5 Julai 2023 – KKM
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan Standard Operating Procedure (SOP) terbaharu bagi pemakaian pelitup muka. Mulai 5 Julai 2023 ini, pemakaian pelitup muka (face mask) tidak lagi diwajibkan di hospital dan di dalam pengangkutan awam (termasuk e-hailing). Walau bagaimana pun, pemakaian pelitup muka diwajibkan untuk individu yang disahkan positif Covid-19 dan yang berada di fasiliti kesihatan mengikut amalan pencegahan infeksi semasa berhadapan atau mengendalikan pesakit. Selain itu, KKM turut berkata pemakaian pelitup muka amat digalakkan untuk pelindungan kendiri termasuk individu berisiko tinggi (warga emas, individu yang berpenyakit kronik, memiliki imuniti rendah atau ibu mengandung) dan individu yang bergejala respiratori (bagi mengelakkan jangkiatn kepada orang lain) terutamanya ketika berada di tempat sesak dan pengudaran kurang baik. Sebelum ini, pada September 2022, Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di tempat tertutup, walau bagaimana pun ia masih diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam. Malahan, tempoh kuarantin bagi individu yang positif Covid-19 juga dipendekkan dari tujuh hari ke lima hari.
Harga minyak 29 Jun-5 Julai – semuanya dikekalkan
Untuk minggu bertarikh 29 Jun hingga 5 Julai 2023, Kementerian Kewangan memutuskan bahawa tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel. Di mana petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter. Pada akhir Mei lalu, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.
Toyota Hilux MHEV prototaip diuji di Safari Rali WRC 2023 — sistem 48V mild-hybrid tiba pada 2024 nanti
Toyota baru-baru ini mengesahkan yang Hilux akan dilengkapi dengan sistem 48-volt mild hybrid pada 2024. Lebih menarik, jentera dengan teknologi yang hampir sama ini telah pun dicuba ketika acara Kejuaraan Rali Dunia (WRC) pusingan ketujuh di Kenya tahun ini — model konsep Hilux MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle). Menggunakan asas dari Hilux GR-S (GR Sport), jentera prototaip tampil dengan rekaan luaran yang hampir sama selain tulisan “Hybrid” yang dicetak besar. Bahagian dalaman juga tidak banyak berbeza, dengan ada pertambahan butang baru di tempat kawalan mod ECO dan PWR yang kebiasaannya ada untuk Hilux GR-S. Hilux MHEV concept dipandu oleh juara dunia WRC empat kali dan bekas penyandang juara dunia Toyota, Juha Kankkunen dari Finland, yang disertai Jimmi Gathu, seorang personaliti media dan pelakon Kenya sebagai pembantu pemandu. Percubaan itu disifatkan berjaya, dengan Kankkunen memaklumkan; “Saya 100% pasti kenderaan jenis ini akan sangat sesuai di Afrika kerana banyak pemanduan jarak jauh dan sukar untuk mengecas kenderaan elektrik. Anda boleh jimat minyak, dan kurangkan CO2. Afrika merupakan pasaran yang sangat sesuai untuk kenderaan seperti ini.” Ini juga selari dengan strategi yang Toyota umumkan untuk mencapai neutral karbon, yang mana syarikat itu akan membangunkan jenis sistem janaan yang berbeza (sama ada pembakaran dalaman, hibrid, plug-in hybrid, hidrogen fuell cell atau bateri elektrik) untuk memenuhi situasi pasaran yang pelbagai. Menurut Toyota, sistem mild-hybrid untuk Hilux terdiri daripada bateri 48-volt, motor-generator elektrik kecil dan komponen sokongan lain. Ini akan dipasang kepada enjin 2.8 turbodiesel empat-silinder dengan transmisi automatik enam-kelajuan untuk memberikan 10% lebih penjimatan dan masih mengekalkan kemampuan sedia ada. Fortuner juga mungkin akan mengikut jejak yang sama. Bagi pasaran Australia, Hilux akan dilengkapi dengan sistem mild hybrid sebagai standard untuk versi 4×4 SR5 dan Rogue Double Cab pada separuh pertama 2024. Ciri ini juga akan ditawarkan sebagai pilihan untuk versi 4×4 SR Double Cab. Akan ada juga versi ini untuk Malaysia nanti?
Hyundai Malaysia siar lagi teaser Ioniq 6 – tarikh pelancaran EV baharu ini semakin hampir?
Akhir tahun lalu laman Facebook rasmi Hyundai Malaysia ada memuatnaik teaser beberapa model yang akan dilancarkan ke pasaran tempatan tahun ini, antaranya adalah satu lagi model elektrik penuh (EV) jenama Korea Selatan tersebut iaitu Ioniq 6. Dan hari ini, Hyundai Malaysia sekali lagi memuatnaik teaser untuk model berkenaan, mungkin menandakan ia akan dilancarkan dalam masa terdekat. Teaser tersebut memaparkan grafik aliran udara terhadap sebuah kereta dengan profil badan menggelembung seperti Ioniq 6 dengan kapsyen “bayangkan salah satu kereta paling aerodinamik di dunia”. Ia juga menunjukkan angka 0.21Cd, iaitu pekali geseran udara yang dihasilkan dari rekaan aerodinamik Ioniq 6 berkenaan. Seperti Ioniq 5, Ioniq 6 ini turut diasaskan dari platform E-GMP. Namun berbanding Ioniq 5 yang hadir dengan rekaan retro berkotak, Ioniq 6 ini tampil lebih ‘bulat’ dengan rekaan seperti kapal angkasa. Ia dihasilkan dengan ukuran panjang 4,855 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,495 mm dan jarak roda sejauh 2,950 mm. Dengan platform E-GMP membolehkan Ioniq 6 ini turut menerima asas sistem elektrikal 800-volt yang membolehkan ia menyokong pengecasan 400-volt. Ini membolehkan ia dicas dengan kemampuan 305 kW yang dapat memenuhkan bateri dari 10 hingga 80% dalam masa hanya 18-minit. Ioniq 6 ini dibekalkan dengan bateri 77.4 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 610 km (kitaran WLTP) dengan satu cas penuh. Ia juga dilengkapi fungsi vehicle-to-load (V2L), membolehkan ia bertindak seperti ‘powerbank gergasi’ bagi membekalkan kuasa ke peralatan elektik lain. Untuk pasaran global, model ini hadir dengan versi paling berkuasa yang menawarkan dua motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang, memberikan pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 320 PS dan tork maksima 605 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat. Kami berpeluang melihat model ini di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2023 yang berlangsung Mac lalu. Dapat dilihat Ioniq 6 tidak dibekalkan dengan cermin sisi kerana ia digantikan dengan kamera, serta rekaan lampu Parametric Pixel diberikan pada lampu hadapan, belakang dan juga pada lampu brek ketiga. Perincian lain yang turut diberikan termasuk paparan instrumen digital dengan skrin 12-inci serta sistem infotainmen juag dengan skrin 12-inci menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.
MRT Laluan Putrajaya catat kenaikan penumpang harian sejak Fasa 2 dibuka, dari 23k ke 93k – Loke
Pembukaan Fasa 2 bagi MRT Laluan Putrajaya (MRT2) telah mencatatan lonjakan jumlah penumpang harian sehingga 305%. Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, jumlah bagi penumpang harian meningkat dari 23,000 orang ketika Fasa 1, menjadi 93,000 orang sehari bagi Fasa 2 ini. Loke berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Negara semalam, laporan Bernama. Beliau memberikan maklumbalas terhadap soalan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, yang bertanya berkenaan rancangan kementerian untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan MRT2, yang dibangunkan dengan kos bernilai RM30.53 bilion. Loke berkata RapidKL akan menyediakan bas perantara di sekitar Putrajaya bagi memprosikan MRT2, yang melibatkan lima laluan iaitu dari stesen MRT Putrajaya Sentral ke Precint 10, Precinct 16, Precinct 4, Precinct 11 dan Ayer 8. Beliau menambah jumlah penumpang dijangka meningkat berdasarkan keadaan semasa. Bagi purata bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan Rapid Rail (MRT Laluan Sg Buloh-Kajang, MRT2, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan Kelana Jaya, KL Monorel) pada hari biasa, beliau berkata ia juga meningkat sebanyak 21% sejak awal tahun ini, dari 613,000 pada Januari ke 746,000 pada Jun. Selain itu, beliau berkata bilangan penumpang perkhidmatan Rapid Rail dijangka meningkat lagi menjelang suku keempat 2023 apabila tren baharu ditempatkan di laluan LRT Kelana Jaya dan apabila kerja pembaikan struktur retak laluan LRT Ampang/Sri Petaling selesai sepenuhnya. “Kementerian Pengangkutan, melalui Prasarana, akan terus menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam dan melabur dalam infrastruktur rel dan bas mengikut keperluan untuk menggalakkan peralihan kepada sistem pengangkutan awam yang lebih selesa, selamat dan rendah karbon,” katanya sambil menambah bahawa Pas Perjalanan Tanpa Had MY50 untuk perkhidmatan rel dan bas akan diteruskan sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mempromosikan penggunaan pengangkutan awam.
GAC tunjukkan kereta terbang konsep GOVE – gabungan drone penumpang dengan casis empat roda
Guangzhou Automobile Group (GAC Group) telah mendedahkan sebuah kereta terbang konsep yang dipanggil sebagai GOVE. Nama itu datang daripada perkataan ‘GAC, On the Go, Vertical Flight and Electric Vehicle (EV)’. GOVE adalah sebuah kenderaan elektrik yang boleh naik dan turun secara menegak (eVTOL) yang menggabungkan drone penumpang dengan enam set bilah pemutar, bersama casis empat roda untuk bergerak atas jalan. Apabila bergerak atas jalan biasa, drone dan casis ini akan bersambung sebagai satu unit, dan akan bergerak menggunakan sistem autonomous ADiGO. Apabila mahu terbang, bahagian drone akan dipisahkan daripada casis dan sistem kawalan penerbangan berserta teknologi pengenalan objek akan membolehkan ia terbang secara stabil di altitud tinggi. Setelah terpisah, bahagian casis itu pula boleh dikawal dari jauh, untuk di hantar ke tempat mengecas. Ia juga boleh dikongsi dengan pengguna lain. Akhir sekali, apabila drone mahu mendarat, kabin boleh terbang itu akan diselarikan dengan casis secara tepat dan digabungkan semula. GOVE juga datang dengan sistem kuasa sokongan supaya penerbangan dapat diteruskan sekiranya salah satu unit kuasa bermasalah. GAC memberitahu, mereka menggunakan konsep MBSE (Model-Based Systems Engineering) yang banyak dipakai dalam industri penerbangan untuk menepati keperluan keselamatan, tetapi mengakui ia masih akan mengambil masa lama sebelum boleh dapat dikomersialkan. Syarikat itu turut memberitahu bahawa GOVE sudah melengkapkan penerbangan ujian dengan manusia sebenar di dalamnya, dan ia sekaligus menjadi bukti penggerak elektrik boleh terbang ini boleh menjadi realiti pada masa hadapan.
Mitsubishi Outlander PHEV 2023 dijumpai di Malaysia – SUV 7-tempat duduk ini akan kembali ke sini?
Buat masa sekarang, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hanya ada dua model yang dijual di bilik pameran iaitu trak pikap Mitsubishi Triton dan juga MPV tujuh tempat duduk Mitsubishi Xpander. Jadi ini mungkin ada sinar bagi peminat Mitsubishi yang mahukan pilihan lebih banyak kenderaan jenama tiga berlian itu di sini – sebuah SUV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Outlander generasi baharu telah dilihat di SS2 Petaling Jaya! Imej ini berjaya dirakam oleh individu yang hanya mahu dikenali oleh Jerry Mun. Unit berkenaan dilihat sudah pun menerima plat pendaftaran Malaysia yang sah – jadi sudah tentu Outlander baharu ini sudahpun mendapat kelulusan VTA dari JPJ dan tidak mempunyai masalah untuk dilancarkan di Malaysia bila-bila masa dari sekarang. Jika diamati lagi, model yang dilihat ini adalah dari varian plug-in hybrid (PHEV) dan bukan model yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya. Outlander sememangnya pernah dijual di Malaysia oleh MMM, dan ia turut turut dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) bagi model generasi sebelum ini. Mitsubishi Outlander generasi keempat ini membuat kemunculan sulung globalnya pada Februari 2021. Ia diasaskan dari platform CMF-C/D Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, iaitu platform yang sama mengasaskan Nissan X-Trail generasi keempat. Manakala untuk rekaan luaran dan dalaman, Outlander serba baharu ini merupakan versi produksi untuk model konsep Mitsubishi Engelberg Tourer yang didedahkan pada 2019. Bagi model petrol penuh Outlander turut berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama seperti X-Trail. Namun bagi versi PHEV, ia masih mengekalkan teknologi asli dari Mitsubishi iaitu sistem rangkaian kuasa Mitsubishi yang ditingkat taraf dari Outlander PHEV generasi terdahulu. Model PHEV berkenaan menerima enjin 4B12 2.4 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 133 PS. Enjin tersebut kebanyakkan masanya hanya bertugas sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion 20 kWj bagi sistem elektrifikasi hibrid, tetapi masih akan menolong motor elektrik menggerakkan tayar pada kelajuan tinggi menggunakan klac lock-up dengan nisbah gear tunggal. Sistem PHEV ini juga masih menampilkan dua motor elektrik bagi masing-masing untuk memacu gandar hadapan dan belakang, yang merupakan sebahagian dari sistem S-AWC (Super-All Wheel Control). Motor yang memacu roda hadapan kini berkuasa 116 PS/255 Nm, dan motor pada gandar belakang pula berkuasa 136 PS/195 Nm. Secara keseluruhan, unit rangkaian kuasa PHEV tersebut menghasilkan kuasa gabungan 243 PS dan tork maksima 450 Nm. Bukan sahaja lebih berkuasa, malah sistem ini turut membolehkan Outlander berkenaan bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak 55 km sehingga 87 km dalam kitaran WLTP. Dengan dua motor berasingan pada gandar hadapan juga membolehkan tork diagihkan dengan lebih sempurna untuk mendapatkan cengkaman tayar terbaik menerusi sistem A-AWC berkenaan, yang kini turut dibantu oleh Active Yaw Control (AYC). Setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman atau petunjuk rasmi dari MMM berkenaan Outlander PHEV generasi baharu tersebut. Anda rasa bagaimana? Patutkan MMM menawarkan model yang lebih canggih ini di Malaysia?
Honda Beat ditawarkan dalam warna baru – RM5,990
Honda Beat yang diperkenalkan pada tahun 2020 sekali lagi diberikan perubahan grafik dengan sekarang ditawarkan dalam empat warna iaitu merah, biru, hitam dan kuning. Harga yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd untuk skuter ini adalah RM5,990 tidak termasuk insurans. Bahagian lain skuter ini tidak berubah, bermula dengan enjin yang berkapasiti 109.5 cc, dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan menghasilkan kuasa 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.53 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini menepati tahap emisi Euro 4 dan mampu memberikan penggunaan bahan api sehingga 59.1 km/l. Di sebalik panel badan skuter ini, terdapat kerangka eSAF yang membantu menjadikan motosikal lebih lincah dan mudah dikawal. Melalui penggunaan kerangka ini, tangki bahan api dapat dijadikan 4.2 liter, ruang barang bawah tempat duduk menyediakan 11.7 liter dan berat keseluruhan adalah 90 kg. Kelengkapan lain padanya adalah termasuk sistem brek CBS, rim 14 inci dengan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, fork teleskopik, satu penyerap hentak di belakang, tinggi tempat duduk 740 mm serta penghidup enjin elektrik dan tendang.
Triumph Speed 400, Scrambler 400 diperkenal – binaan serba baru, enjin satu silinder 398 cc, enam kelajuan
Barisan model klasik moden Triumph hari ini menerima versi permulaan dengan enjin berkapasiti lebih rendah apabila dua model baru iaitu Speed 400 dan Scrambler 400 X diperkenalkan kepada dunia. Ia akan mula dijual pada bulan hadapan di India, sementara pasaran lain cuma akan mendapatnya bermula awal tahun depan. Kedua-dua model baru ini mengikut penggayaan model yang lebih besar, iaitu Speed Twin 900/1200 dan Scrambler 900/1200, dan mendapat kemasan berkualiti tinggi seperti powdercoat pada perumah enjin, fork anodised warna emas serta cat premium. Tiga warna ditawarkan untuk Speed 400 iaitu Carnival Red, Caspian Blue dan Phantom Black, sementara Scrambler 400 juga ditawarkan dalam tiga warna iaitu Matt Khaki Green/Fusion White, Carnival Red/Phantom Black dan Phantom Black/Silver Ice. Keseluruhan bahagian dua motosikal ini adalah serba baru, termasuk enjin, yang dipanggil sebagai siri TR, dengan kapasiti 398 cc. Enjin satu silinder dengan sistem suntikan bahan api, penyejukan cecair dan DOHC ini dipadankan bersama transmisi enam gear untuk menghasilkan kuasa sehingga 40 PS pada 8,000 rpm dan tork 37.5 Nm pada 6,500 rpm – dikatakan sebagai yang terbaik di dalam kelasnya. Barangan untuk suspensi secara asasnya adalah sama, iaitu unit fork USD 43 mm di hadapan dan monoshock gas RSU dengan pelarasan pra beban di belakang, tetapi jarak geraknya adalah berbeza dengan Speed 400 menyediakan 140 mm di hadapan dan 130 mm di belakang, manakala Scrambler 400 pula lebih panjang iaitu 150 mm untuk kedua-dua hadapan dan belakang. Dengan tetapan ini, tinggi tempat duduk juga menjadi masing-masing menjadi 790 mm dan 835 mm. Bagi menjadikan motosikal sesuai dengan karekter yang dibawa dan sasaran penggunaannya, bahagian roda juga mendapat tetapan khas dengan Speed 400 menggunakan rim 17×3 inci bersama cakera brek 300 mm di hadapan, sementara Scrambler 400 pula menggunakan rim 19×2.5 inci serta cakera brek 320 mm. Saiz rim serta brek belakang kedua-duanya masih adalah sama, iaitu unit 17 inci (lebar 4 mm untuk Speed 400 dan 3.5 mm untuk Scrambler 400) dan cakera 230 mm. Sementara Speed 400 dijadikan lebih untuk kegunaan atas jalan biasa, Scrambler 400 pula dipersiapkan dengan kemampuan untuk meredah jalan lebih mencabar dengan tayar Metzeler Karoo berbunga lebih kasar, serta ergonomik yang lebih sesuai seperti pemegang lebih lebar, kedudukan menunggang lebih tegak, pedal brek lebih besar serta peletak kaki lebih mencengkam. Meskipun terletak sebagai model permulaan bagi Triumph, Speed 400 dan Scrambler 400 masih mendapat kelengkapan moden seperti semua lampu jenis LED, pendikit throttle-by-wire (tapi tiada mod tunggangan), immobiliser serta panel paparan gabungan analog (rpm) dan LCD. Pada bahagian keselamatan, sistem ABS dual-channel serta kawalan cengkaman diberikan secara standard. Bagi ABS, hanya pada Scrambler 400 sahaja ia boleh ditutup, manakala untuk kawalan cengkaman, kedua-dua model menyediakan pilihan untuk ditutup secara mudah melalui butang pada pemegang. GALERI: Triumph Scrambler 400 2024 GALERI: Triumph Speed 400 2024
Polis laksana OP Lancar di seluruh negara pada 28 Jun-2 Julai 2023 sempena perayaan Aidiladha
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mula melaksanakan OP Lancar sempena perayaan Hari Raya Aidiladha bagi memastikan aliran trafik bergerak dengan baik di seluruh negara mulai hari ini, 28 Jun hingga 2 Julai 2023. JSPT dalam kenyataannya berkata, OP Lancar pada kali ini berperanan memantau dan mengambil tindakan penyuraian lalu lintas di semua lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan lebuh raya yang menghubungkan negeri dan daerah seperti jalan persekutuan, jalan negeri serta jalan bandaran. Selain itu, persimpangan lampu isyarat atau persimpangan yang dijangkakan akan berlaku kesesakan yang melampau turut dipantau bagi memberi keselesaan pergerakan lalu lintas. Dalam masa yang sama, JSPT turut memberi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa bekerjasama, berhemah, berhati-hati dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan bagi mengelak kemalangan berlaku. Selain itu, orang ramai dinasihati agar rancang pergerakan dengan kesihatan yang baik dan minda yang cergas.
Kamera pengesan ekzos bising akan dipasang Sydney untuk buru pemilik kenderaan yang diubahsuai
Kerajaan tempatan di New South Wales, Australia iaitu Bayside Council bakal memasang kamera-kamera dengan teknologi pengaktifan bunyi di sekitar Bandaraya Sydney, bagi memburu pengguna jalan raya menggunakan ekzos bising pada kenderaan mereka. Menurut laporan Drive.com.au, kamera-kamera tersebut bakal dipasang di kawasan-kawasan ‘panas’ sekitar Botany Bay, selatan Sydney yang sering dikunjungi mereka yang gemar memandu dan menunggang motosikal dengan tidak bertanggungjawab. Kamera-kamera tersebut akan diaktifkan secara automatik sekiranya mengesan bunyi dari kenderaan yang melalui jalan berkenaan. Ia akan menangkap gambar kenderaan dan juga nombor pendaftaran jika tahap desibel bunyi yang dihasilkan tersebut melebihi tahap yang dibenarkan, dan saman akan dikeluarkan selepas itu. Buat masa sekarang Bayside Council sedang menunggu kelulusan dari kerajaan New South Wales, Badan Perlindungan Alam Sekitar (EPA) NSW dan polis NSW untuk memulakan ujian penggunaan kamera berkenaan. Ia disasarkan untuk mengurangkan “kelakuan anti-sosial” di kawasan tersebut. Di New South Wales, tahap bunyi maksima yang dibenarkan untuk sebuah kereta adalah 90 desibel, sementara motosikal pula tidak boleh melebihi 94 desibel. EPA boleh mengeluarkan saman sekitar AUD150 (RM465) sehingga AUD500 (RM1,550) kepada individu yang menggunakan kenderaan yang menghasilkan bunyi lebih dari yang dibenarkan. Laporan itu turut menyebut bahawa kawasan seperti Brighton Le Sands, Dolls Point, Sandringham, dan Rockdale yang terletak di dalam bidang kuasa Bayside Council sememangnya terkenal sebagai kawasan yang popular dengan kenderaan yang diubahsuai. Sekiranya kamera berkenaan menangkap gambar kenderaan yang menghasilkan bunyi bising dari tahap yang dibenarkan, polis juga boleh mengambil tindakan terhadap individu tersebut kerana “menggunakan kenderaan yang menghasilkan bunyi yang tidak sepatutnya” (termasuk perbuatan melakukan aksi burnout atau sengaja menekan pedal pendikit dengan kuat), dengan mengeluarkan saman berjumlah AUD206 (RM640). Saman berkenaan tidak semestinya disebabkan oleh bunyi ekzos, malah sekiranya sistem ambilan udara turut diubahsuai dan menghasilkan tahap bunyi lebih dari yang dibenarkan, pemandu kenderaan berkenaan boleh dikenakan saman bernilai AUD150 serta dua markah demerit.
MoT tubuhkan pasukan petugas khas bagi atasi masalah lambakan calon ujian lesen memandu
Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengatasi masalah lambakan calon yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan lesen memandu di institut memandu (IM) di seluruh negara. Di mana pasukan berkenaan akan dianggotai MoT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Menteri MoT Anthony Loke. Katanya lagi, setiap tahun dianggarkan kira-kira 600,000 pelajar mendaftar ujian memandu bagi mendapatkan lesen lesen motosikal kelas B2 dan D. Namun demikian, lambakan itu terjadi disebabkan penutupan IM susulan pandemik Covid-19, laporan Bernama. “Backlog panjang bukan kerana mereka tidak mendapat lesen memandu tetapi masa menunggu itu lama. Ada yang menunggu berbulan-bulan untuk menduduki ujian. Saya sudah arahkan MoT untuk melihat cara yang boleh kita bantu untuk cepatkan proses ujian memandu. “Selain itu, kita ambil satu pertimbangan untuk membantu pemain industri IM kerana umum diketahui semasa Covid-19 mereka tidak boleh buat apa-apa. Kebanyakan kenderaan yang masuk ke tahun ketujuh sudah tidak boleh dipakai dan menambahkan beban pengusaha dan tidak adil,” katanya. Malah bagi menggalakkan IM melabur dalam kenderaan baharu, Loke berkata pemeriksaan kenderaan dikecualikan untuk tahun pertama dan kedua. “Untuk tahun-tahun seterusnya hingga tahun ke-10, pemeriksaan berkala yang diwajibkan adalah setahun sekali. Namun pelaksanaannya dijangka akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi,” jelasnya. Menurutnya, secara dasar selepas lima tahun kenderaan itu tidak boleh digunakan namun kementerian mengambil satu pengimbangan untuk membantu industri kerana semasa dua tahun berdepan pandemik Covid-19, kenderaan itu tidak dapat digunakan. Walau bagaimana pun, katanya, sekiranya undang-undang itu diteruskan, ia akan menambah beban kepada industri untuk membeli kenderaan baharu. “Kementerian meletakkan tanggungjawab keselamatan kepada pihak industri dan sekiranya mereka gagal menjaga kenderaan dan berlaku kemalangan, MoT tidak akan teragak-agak mengambil tindakan,” katanya.
PLUS aktifkan laluan Smartlane antara Persimpangan Senai Utara ke Kulai pada 28 Jun hingga 2 Julai
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pengaktifan Smartlane di laluan antara Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai (Arah Utara) KM19.0 hingga KM27.0. Pengaktifan Smartlane ini telah pun bermula hari ini dan berlangsung sehingga 2 Julai 2023, melibatkan jarak sepanjang 8 km dan waktu operasinya adalah dari jam 8 pagi hingga 6 petang. Ia adalah sebagai Inisiatif PLUS dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada, serta membantu melancar dan menyuraikan trafik ketika musim perayaan Aidiladha 2023. Mmenurut PLUS, pengaktifan ‘Smartlane’ juga akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan trafik semasa dengan kerjasama dan pemantauan oleh Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan serta petugas Lebuhraya PLUS di lokasi. “Di lokasi SmartLane, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama bagi meneruskan perjalanan mereka. Walau bagaimanapun, pengguna dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan,” kata PLUS. Walau bagaimana pun, PLUS berkata, penggunaan lorong kecemasan tidak lagi dibenarkan selepas Persimpangan Bertingkat Kulai bagi trafik menuju ke Kuala Lumpur Dalam masa yang sama, PLUS menasihatkan agar pemandu dan penunggang saling menghormati pengguna lebuh raya yang lain, mengamal kelajuan yang sesuai dan sentiasa berhati-hati.
Acara KL Car Free Morning pada 2 Julai dibatalkan
Penganjur KL Car Free Morning (KLCFM) mengumumkan tiada KLCFM pada Ahad ini, 2 Julai 2023. Pembatalan acara berkenaan disebabkan sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha. Walau pun Hari Raya Aidiladha disambut pada 29 Jun (Khamis), bermakna ia akan melibatkan cuti hujung minggu yang panjang untuk kebanyakan orang. Walau bagaimana pun, difahamkan, KLCFM akan dilaksanakan pada tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Jadi para peminat KLCFM yang sememangnya menanti untuk melakukan aktiviti termasuk larian dan berbasikal di sekitar ibu kota secara bebas perlulah bersabar untuk menunggu tarikh yang akan diuar-uarkan itu.
Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi 27 Jun-2 Julai di Lebuhraya PLUS sempena Hari Raya Aidiladha
Seperti amalan yang dilaksanakan pada musim perayaan yang lain, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut mengumumkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) di Lebuhraya Utara-Selatan yang bertujuan untuk mengagihkan trafik pada musim perayaan Hari Raya Aidiladha bagi tempoh bermula 27 Jun hingga 2 Julai 2023. Menurut PLUS, TTA ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekaligus mengurangkan kesesakan. “Kami menjangkakan kira-kira 2 juta kenderaan akan berada di lebuh raya kendalian PLUS terutamanya pada hari puncak iaitu 28 Jun (Rabu) dan 1 Julai (Sabtu) iaitu peningkatan sebanyak 12% berbanding 1.7 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa sempena Aidiladha Khamis ini,” kata Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz. Bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang mulai hari ini hingga 29 Jun, jika anda menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kuala Kangsar-Bukit Merah) dan Johor, disaran memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi. Manakala bagi yang menuju ke Negeri Sembilan, Melaka dan Perak (Tanjung Malim-Ipoh), anda disarankan memulakan perjalanan menggunakan Lebuhraya PLUS antara jam 12 tengahari hingga 3 petang. Bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pada tempoh 30 Jun hingga 2 Julai, anda disarankan memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi dari mana-mana destinasi. Pengguna lebuh raya sentiasa dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya. Sebagai contoh, sekiranya pengguna lebuh raya menggunakan mod pembayaran RFID ketika masuk ke lebuh raya, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID. Ini dapat mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain. PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya memastikan baki e-Wallet (bagi transaksi RFID) dan baki kad Touch ‘n Go sentiasa mencukupi untuk perjalanan mereka. Di samping jadual TTA, pengguna lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan yang lebih baik dan maklumat trafik terkini di lebuh raya. Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.
MoT masih kaji penguatkuasaan bagi kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan kerajaan masih mengkaji penguatkuasan bagi penggunaan kanak-kanak atau Child Restrain System (CRS) di dalam kenderaan biarpun usul mengenainya telah diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini, “Walaupun usul penggunaan kerusi khas kanak-kanak itu sudah diluluskan, kita masih mengambil pendekatan advokasi bagi mendidik orang ramai. Kita kaji dari pelbagai aspek… kalau keluarga itu anak ramai, saiz kereta besar dan sebagainya. Jadi buat masa ini kita lebih fokus kepada advokasi berbanding penguatkuasaan,” katanya ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya HRAA oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Gombak, semalam. Menerusi kempen keselamatan tersebut, ia juga memfokuskan kepada kepentingan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak. Di mana kerusi tersebut dapat membantu kanak-kanak dengan cara mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan jalan raya. “Ini kerana statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 1,252 kes kemalangan maut membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah dilaporkan dari 2012 hingga 2021,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro. Tambah beliau, pihaknya memandang serius isu itu dan mengakui ia perlu ditangani segera menerusi penguatkuasaan berterusan dan advokasi kepada pemandu yang tidak menggunakan CRS. “Orang ramai dinasihatkan supaya membeli kerusi CRS yang melepasi standard piawaian ISO. Ini kerana aksesori itu membantu kanak-kanak semasa berlakunya pelanggaran dengan mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan. “Kerajaan berharap kempen kali ini dapat memberi kesedaran khususnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil tentang betapa pentingnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak,”katanya. Pada Disember 2019, kerajaan telah mengumumkan untuk menguatkuasakan tindakan saman selepas tamat tempoh enam bulan pendidikan kesedaran penggunaan kerusi berkenaan mulai Januari 2020. Menurut Menteri MoT ketika itu, Anthony Loke, tindakan saman perlu dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan menggunakan CRS untuk keselamatan. Namun sehingga kini, ternyata penguatkuasaan mengenai perkara ini masih samar-samar.
Sistem parkir 2-Jam akan dilaksanakan oleh MBSA bermula 1 Julai ini; 8 pg-5 ptg, Isnin hingga Jumaat
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan bahawa tempat parkir di 67 lokasi di bawah bidang kuasanya akan dioperasikan dengan sistem parkir 2-Jam bermula 1 Julai 2023. Sistem itu dibuat di bawah Pewartaan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Bandaraya Shah Alam) Pindaan 2023. Laporan awal bulan ini menyebut bahawa MBSA telah mengenalpasti 67 tempat parkir di Seksyen 9, Setia Alam dan Seksyen 25 akan ditukar untuk menggunakan sistem parkir dua-jam ini dan ia hanya menunggu kelulusan dari kerajaan negeri untuk menggezetkan kawasan tersebut. Nampaknya kelulusan itu sudahpun diperolehi menerusi pengumuman baru dari MBSA ini. Petak-petak parkir 2-jam ini akan ditandakan dengan warna oren dan ia berkuatkuasa dari 8 pagi hingga 5 petang, dari hari Isnin hingga Jumaat. Petak-petak yang dipilih ini adalah petak di kawasan sangat sibuk pada waktu pejabat bagi mengelakkan masalah individu yang memonopoli kawasan parkir tersebut. Ia akan dikenakan bayaran lebih tinggi iaitu RM1.20 sejam dan pengguna hanya boleh meletakkan kereta di kawasan tersebut maksimum hanya 2-jam. Pengguna boleh menggunakan enam aplikasi telefon pintar untuk membuat bayaran petak-petak parkir ini iaitu Smart Selangor Parking, Flexi Parking, GoPayy, Jom Parking, Touch n Go eWallet dan Setel. Pas bulanan tidak sah digunakan untuk petak parkir 2-jam ini. Sekiranya anda dikesan memarkir kenderaan lebih dari 2-jam dipetak-petak parkir yang bertanda oren ini, anda akan dikenakan saman. MBSA menegaskan tiada diskaun bayaran saman RM10 sekiranya ia dibayar dalam masa 24 jam seperti parkir biasa, dan tiada rayuan akan dilayan. Sistem parkir 2-jam ini bukan hanya dioperasikan oleh MBSA. Ia telah pun dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di enam pusat komersil sejak September 2022 termasuk SS15, Taipan dan Bandar Puteri Puchong. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut memperkenalkan sistem yang sama pada kawasan tertentu.
Pra-tempahan untuk model produksi Mitsubishi XFC sudah dibuka di Indonesia, muncul 10 Ogos ini
Sebelum ini Mitsubishi sudahpun mengesahkan bahawa SUV kompak baharu syarikat berkenaan, iaitu versi produksi dari model konsep XFC bakal didedahkan sepenuhnya pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 yang akan berlangsung bermula 10 Ogos ini. Manakala dalam laporan Autonetmagz baru-baru ini menyebut bahawa pra-tempahan untuk SUV tersebut sebenarnya sudahpun bermula di Indonesia beberapa minggu lalu. Ini bermaksud pendedahan di GIIAS nanti bukan sekadar kemunculan global sulung bagi SUV ini, malah ia juga akan terus rasmi dijual di pasaran Indonesia. Ketika mengumumkan tarikh kemunculannya rasminya, Mitsubishi turut telah mendedahkan beberapa imej teaser untuk model baharu ini, dan ia disahkan akan dilengkapi sistem bunyi yang dihasilkan oleh Yamaha. Ini merupakan kerjasama pertama antara Mitsubishi dan juga pengeluar alat muzik serta kelengkapan audio dari Jepun tersebut. Setakat ini Mitsubishi belum mengumumkan sebarang spesifikasi teknikal berkenaan SUV serba baharu ini. Namun sebelum ini jenama tersebut ada menyatakan bahawa model ini akan diperkenalkan dalam versi petrol sepenuhnya terlebih dahulu, dan kemudian akan diikuti versi hibrid elektrik selepas itu. Unit prototaip versi produksi XFC Concept ini juga sebelum ini sudah dijumpai sedang diuji di atas jalan raya awam di Indonesia. Ia dilihat menerapkan banyak perincian dari XFC Concept, seperti yang dibuat pada model XM Concept dan versi produksi Xpander sebelum ini. Pada bahagian muka, versi produksi XFC ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid dengan elemen sarang lebah, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L. Jalur LED sebelah bawah DRL pada XFC mungkin akan dijadikan lampu utama pada versi produksi ini seperti pada Xpander. Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, cuma ia bersaiz lebih kecil dan tiada jalur LED disekeliing sepasang liang berbentuk segi enam berkenaan. Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung. Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa. Walaupun ditutup dengan pelekat penyamaran, bahagian skid plate pada bahagian bawah bampar belakang ini nampak kelihatan hampir sama antara XFC Concept dan unit prototaip produksi ini. Cuma rekaan sepasang lubang berbentuk heksagon tidak lagi kelihatan, dan ia diberikan sepasang reflektor berwarna merah mendatar pada sebelah bawah. Ada khabar yang bertiup, model ini merupakan Xpander dalam versi yang dipendekkan, menggunakan banyak komponen mekanikal yang juga diambil dari Xpander – Jadi ada kemungkinan ia akan berkongsi enjin 1.5L MIVEC dan hanya memacu roda hadapan. Oleh itu, SUV baharu dari Mitsubishi ini mungkin akan dihasilkan dengan badan yang berada dalam kelas segmen-B. Dan dengan enjin 1.5L tanpa turbo yang ditawarkan, ia mungkin akan berhadapan dengan model seperti Honda WR-V, Hyundai Creta dan juga kembar Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa. Mitsubishi juga masih belum mengumumkan nama sebenar untuk versi produksi XFC ini nanti. Namun tidak mustahil ia akan menggunakan kembali nama SUV segmen-B yang popularnya sebelum ini iaitu Mitsubishi ASX. Sebelum ini nama berkenaan telah digunakan semula untuk SUV baharu yang direbadge dari Renault Clio, tetapi ia hanya dijual untuk pasaran Eropah. Memandangkan ini merupakan model yang dihasilkan khas untuk pasaran Asia Tenggara seperti Xpander, mungkin ia juga akan di bawa masuk ke pasaran tempatan oleh Mitsubishi Motors Malaysia? GALERI: Mitsubishi XFC Concept 2022
Bengkel tawar khidmat modifikasi kenderaan yang menyalahi undang-undang dikesan – Polis KL
Awas bagi pemilik bengkel yang menawarkan perkhidmatan modifikasi kenderaan yang menyalahi undang-undang di sekitar ibu negara, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menjejaki anda! Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur bakal melakukan pemeriksaan dan risikan bagi mengenal pasti bengkel yang menawarkan perkhidmatan sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik premis yang terbabit. “Selain dari elemen kesalahan trafik, pasukan JSJ akan digunakan untuk membuat risikan dan maklumat bertujuan untuk tangkapan serta semakan rekod jenayah. Siasatan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 akan diambil sekiranya gagal untuk memberi keterangan di atas pemilikan kenderaan terlibat,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro. Tambahnya, pemeriksaan akan dilakukan ke atas bengkel yang melakukan pengubahsuaian kenderaan sehingga menyalahi undang-undang termasuk mengesan kenderaan curi. Selama ini, polis memang kerap mengadakan pelbagai operasi khas bagi mengesan kenderaan yang dimodifikasi tanpa mengikut undang-undang yang dibenarkan. Jika ia dikesan di sekatan jalan raya, tindakan tegas juga akan diambil termasuk menyita kenderaan tersebut dan saman trafik akan dikeluarkan terhadap pemiliknya. Malahan pihak penguatkuasa juga akan mengarahkan agar kenderaan terbabit diubah ke struktur asal sebelum dikembalikan kepada pemilik masing-masing. Jadi, adalah lebih adil sekiranya bengkel yang menjalankan modifikasi berkenaan turut diambil tindakan.
BYD lebar sayap ke Penang, JB — bilik pameran di pusat beli-belah Gurney Plaza, Mid Valley Southkey
BYD kini telah memperluas kehadirannya di Pulau Pinang dan Johor Bahru melalui pembukaan dua Pusat BYD terbaru. Cawangan di P. Pinang terletak di Gurney Plaza, sementara yang di JB pula di Mid Valley Southkey. Jarang-jarang dilakukan, kedua-dua bilik pameran ini terletak di dalam pusat membeli-belah. Dibangunkan oleh Sime Darby Beyond Auto, pusat terbaru ini direka untuk memberikan tahap pengalaman yang lebih tinggi kepada pelanggan. “Sambutan terhadap BYD di Malaysia sangat positif dan mengagumkan, sekaligus mencerminkan penerimaan EV di negara ini. Kami berbesar hati untuk bergerak dan meneruskan momentum berkenaan dengan memperluas kehadiram kami untuk memenuhi permintaan terhadap EV yang semakin meningkat di seluruh negara dengan kenderaan inovatif BYD,” ujar Pengarah Urusan, runcit dan pengedaran Sime Darby Motors — Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan. “Pengembangan rangkaian BYD di Malaysia ini adalah cerminan kepada pertumbuhan positif potensi EV di sini, dengan lebih ramai warga di sini menyedari kehadiran jenama BYD dan manfaat EV. Ini juga cerminan kepada keyakinan terhadap jenama BYD dan usahasama kukuh dengan Sime Darby Motors, dan kami ingin mengembangkannya lagi,” ujar Pengarah Urusan, BYD Malaysia dan Indonesia, Eagle Zhao. Bilik pameran di pusat beli-belah ini merupakan cawangan 1S, dan pelanggan BYD di utara dan selatan tanah air boleh mendapatkan servis lepas jualan di Jalan Sungai Penang di Pulau Pinang dan Jalan Skudai Kiri di JB. Ini adalah tambahan kepada pusat 3D flagship BYD di Sime Darby Motors City, Ara Damansara, dan bilik pameran utama di TREC KL, Jalan Tun Razak. Sime Darby Beyond Auto memaklumkan semua pusat servis lepas jualannya dilengkapi dengan sokongan kelengkapan diagnostik bagi penyelenggaraan terperinci yang diperlukan. Pengurusan bersepadu alat ganti BYD di seluruh negara juga memastikan bekalan alat ganti sentiasa mencukupi bagi kenderaannya, dan semua di dukung oleh juruteknik terlatih yang mahir untuk memastikan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan. BYD memasuki pasaran Malaysia secara rasmi pada Disember 2022 dengan pengenalan Atto 3, yang bermula dari RM150k. BYD SD Motors Malaysia juga telah mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan model yang lebih kecil dan mampu milik seperti Dolphin, serta sedan elektrik Seal. Kedua-duanya mempunyai senarai spesifikasi yang cukup menarik.
chargEV, Gentari, JomCharge kini boleh saling akses — lebih 600 stesen pengecas EV di seluruh Malaysia
Pada Mac lalu, Gentari, EV Connection dan Yinson GreenTech umumkan yang mereka telah menandatangani persetujuan untuk membolehkan saling jejak dan saling akses kenderaan elektrik di dalam rangkaian pengecas Gentari, JomCharge dan chargEV menjelang Jun. Seperti dijadualkan, saling akses untuk pengecasan bagi ketiga-tiga platform itu kini sudah berlangsung dalam Fasa 1. Ini membolehkan pengguna mana-mana aplikasi Setel, JomCharge dan chargEV untuk menggunakan pengecas di ketiga-tiga rangkaian itu di seluruh negara. Selain menjadikan maklumat lokasi dan akses pengecas lebih mudah di semua platform tersebut, bayaran untuk pengecasan juga lebih mudah, dengan hanya satu sistem bayaran yang akan mengendalikan semuanya. Kerjasama ini menawarkan kepada pengguna EV akses kepada keseluruhannya lebih daripada 600 pengecas EV di seluruh Malaysia, atau hampir dua per tiga daripada jumlah keseluruhan penegcas EV yang ada di negara ini. Ia merupakan peningkatan daripada jumlah keseluruhan 550 unit yang ada Mac lalu, dengan Gentari mempunyai lebih daripada 150 pengecas, chargEV dengan 300 unit dan JomCharge dengan 100 unit. Dalam satu hantara di Facebook, chargEV memaklumkan dalam fasa pertama, pengguna akan dapat mengakses stesen pengecas Gentari dan JomCharge di sekitar KLCC serta XPark Sunway melalui aplikasi chargeEV. Akses ini akan diperluas dari semasa ke semasa sehingga mencapai keseluruhan 600 stesen pengecas di seluruh negara.
Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!
Kebelakangan ini ada beberapa Subaru Impreza 22B STI terjual dalam laman lelongan, dan boleh dikatakan kesemua unit berkenaan berjaya pada harga melebihi RM1 juta ringgit. Maklumlah, dalam barisan model Subaru Impreza, 22B merupakan model yang mempunyai nilai paling tinggi, bukan hanya kerana ia dibina dalam jumlah terhad, malah turut mengambil kira kebolehan, nilai sejarah dan rupanya yang begitu garang. Dan antara kesemua unit 22B tersebut, unit yang bakal dilelong di laman Silverstone Auction ini merupakan yang paling rare – ia adalah unit pra-produksi, dan dimiliki oleh lagenda rali Subaru yang menaikkan sendiri nama Impreza iaitu mendiang Colin McRae! Impreza 22B ini hanya dihasilkan sebanyak 424-unit di mana tiga unit merupakan prototaip pra-produksi, 400 unit model untuk pasaran domestik Jepun (kesemuanya habis dijual tidak sampai sejam selepas diumumkan!), 16-unit dibawa ke United Kingdom (diberi nama Type UK, menerima sentuhan Prodrive bagi disesuaikan dengan keadaan pemanduan di negara tersebut) dan lima unit dibawa ke Australia. Walaupun 22B milik Colin McRae ini berada di UK, ia bukanlah 22B Type UK tetapi merupakan salah satu dari tiga unit pra-produksi, dengan plat nombor produksi #000/400. Memang paling rare antara 22B yang lain! Meter perbatuan pada 22B ini mencatatkan perjalanan sejauh hampir 12,000 km. Jadi kereta ini memang pernah dipandu, dan bukan hanya dijadikan bahan pameran. Malah dalam satu temu bual yang dibuat oleh rancangan TV tempatan di UK, McRae menyatakan 22B ini antara kereta kegemarannya dalam banyak koleksi yang beliau ada untuk dipandu di atas jalan raya. Dalam temu bual itu juga Colin McRae turut menyatakan bahawa 22B ini bukan diberikan percuma oleh Subaru, sebaliknya beliau membelinya sendiri walaupun bergelar juara dunia Kejohanan Rali Dunia (WRC) untuk musim 1995 dengan memandu Subaru Impreza WRX. Kereta ini diterima oleh Colin McRae pada bulan November 1998. Subaru Impreza 22B STI ini diperkenalkan pada tahun 1998, dan ia dihasilkan sempena ulangtahun ke-40 Subaru, serta bagi meraikan gelaran Juara Dunia kategori pengeluar mereka dalam WRC untuk tiga tahun berturut-turut – 1995, 1996 dan 1997. Bagi Colin McRae sendiri, beliau sememangnya memberikan sumbangan yang besar dalam kejayaan tersebut kerana telah memandu untuk Prodrive dan Subaru sejak 1991 ketika baru berumur 23 tahun. Model isitimewa ini dihasilkan dengan kit badan lebar bersama bampar dengan rupa yang sama dengan jentera lumba sebenar Subaru Impreza WRCar 1997 (juga dipandu oleh Colin McRae dalam WRC), direka oleh pereka tersohor British yang turut menghasilkan rekaan supercar McLaren F1 iaitu Peter Steven. Manakala rekaan spoiler belakang dengan sudut attack yang boleh dilaras pada 22B ini pula dihasilkan dengan kerjasama Fuji Aerospace (salah satu syarikat di bawah Fuji Heavy Industri iaitu pemilik jenama Subaru, kini dikenali sebagai Subaru Corporation), yang turut bertanggungjawab menghasilkan berberapa komponen untuk pesawat seperti Boeing 777 dan Airbus 380. Namun anda jangan keliru, jentera WRC sebenar Subaru dihasilkan dari kerangka Impreza coupe dua pintu biasa seperti yang disyaratkan dalam regulasi WRCar yang menggantikan regulasi Group A pada tahun 1997. Manakala Subaru 22B ini pula dihasilkan dari kerangka Subaru Impreza WRX STI version IV Type R (coupe dua pintu, manakala model empat-pintu dikenali sebagai Type RA) dengan inspirasi rekaan dari jentera rali Impreza WRCar berkenaan. Selain itu, model istmewa ini turut menerima warna badan yang sama dengan jentera WRC sebenar iaitu Sonic Blue (ada juga yang menggelarnya sebagai Mica Blue), bersama rim BBS Electra 17-inci dalam kemasan emas. Pada bahagian dalaman, 22B STI ini masih mengekalkan rupa yang hampir sama dengan WRX STI Version IV Type R. Namun ia diberikan pelbagai perincian istimewa antaranya upholsteri dengan fabrik biru-hitam, paparan instrumen meter STI dengan latar belakang putih, tombol gear dan roda stereng Nardi balutan kulit dengan serlahan benang merah dan juga plat istimewa yang dicetak dengan nombor siri unik. Subaru Impreza 22B tidak dijana oleh enjin boxer empat silinder EJ20 2.0 liter turbo seperti WRX STI version biasa, sebaliknya ia diberikan enjin EJ22 lebih besar berkapasiti 2.2 liter bersama pengecas turbo IHI RHF 5HB. Atas kertas, enjin tersebut menghasilkan 280 hp dan tork maksima 363 Nm, atau jumlah kuasa kuda yang sama tetapi tork yang sedikit lebih besar dari WRX STI Version biasa. Namun sebenarnya itu cuma jumlah kuasa yang dihadkan kerana Subaru perlu mematuhi undang-undang ‘gentlemen agreement’ antara pengeluar-pengeluar di Jepun pada era 90’an dahulu bagi mengelakkan ‘perang kuasa kuda’ yang akan terjadi, seterusnya menyebabkan jentera-jentera berbahaya di jual dalam pasaran. Ada laporan menyatakan, enjin EJ22 tersebut boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 350 hp hanya dengan talaan semula dibuat pada kotak komputer. Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear yang turut diambil berasaskan kotak gear WRX STI Version, iaitu kotak gear lima kelajuan nisbah rapat yang boleh digunakan terus dalam perlumbaan rali Group N pada era berkenaan. Kuasa dihantar ke kesemua roda dengan sistem AWD yang dilengkapi tiga LSD (depan, tengah dan belakang), dibantu sistem Driver Controlled Center Differential (DCCD) membolehkan pemandu membuat larasan penghantaran tork gandar belakang dan hadapan dari 50:50 hingga 70:30. Selain itu, 22B turut menerima perincian prestasi unik lain seperti sistem suspensi dari pembekal suspensi jentera WRCar mereka iaitu Bilstein dan juga sistem klac dua-lapis dengan plat dari bahan seramik. Ramai yang berpendapat nama ’22B’ itu hadir dari enjin 2.2 liter dan juga suspensi Bilstein yang dipadankan pada kereta ini. Namun fakta sebenarnya 22B ini adalah kod berasaskan hexadecimal (nombor berasaskan 16 yang digunakan dalam coding program komputer di mana huruf A dan F digunakan untuk nombor 10 hingga 15). Ia boleh boleh dirungkai dengan kiraan seperti berikut: 2x16x16 = 512 2×16 = 32 B = 11 Setelah semua jawapan dari hexadecimal tersebut diperolehi, sekarang campurkan jumlahnya; 512+32+11, jawapan akhirnya ialah 555. Ya, 555 iaitu jenama rokok yang begitu sinonim dengan Subaru. Syarikat tembakau tersebut telah menaja Prodrive dan Subaru World Rally Team dari era 90’an hingga pasukan tersebut menarik diri dari WRC pada tahun 2008, membuatkan imej Subaru melekat dengan warna biru-kuning yang berasal dari kotak rokok 555 berkenaan. Seperti yang disebut tadi, lelongan untuk Subaru Impreza 22B milik Colin McRae ini akan bermula pada 26 Ogos nanti. Dan menurut Silverstone Auction, kereta ini dijangka akan terjual pada harga £400,000 (RM2.4 juta) sehingga £500,000 (RM3 juta)!
Proton, Affin Bank lancar Kad Kredit/-i Afiliasi – 3x mata ganjaran di cawangan Proton, kadar faedah 0%
Proton dan Affin Bank telah melancarkan kad kredit sekutu yang disasarkan untuk pemilik Proton. Dipanggil sebagai Kad Kredit/-i Afiliasi Affin Avance Proton, ia memberikan manfaat tambahan kepada pelanggan Proton yang menggunakannya untuk membuat bayaran di cawangan Proton. Antara keistimewaan yang boleh dinikmati oleh pengguna kad ini adalah pengecualian yuran tahun seumur hidup serta tiga kali mata ganjaran Affin untuk menjamu selera, pembelian dalam talian/e-dagang dan transaksi di cawangan Proton. Bagi transaksi runcit lain, hanya satu mata ganjaran Affin yang diberi. Selain daripada itu, kad ini juga menawarkan permohonan overdraf atau tunai tanpa kerumitan, pelan ansuran mudah 0% sehingga 24 bulan serta kadar faedah atau keuntungan 0% untuk pembelian di cawangan Proton, termasuk servis. “Kad Kredit/-i Afiliasi Affin Avance Proton dicipta khusus untuk pelanggan Proton. Dengan menawarkan pelbagai faedah dan keistimewaan, kami percaya kad ahli gabungan ini akan meningkatkan lagi pengalaman pemilikan sambil memberi ganjaran kepada mereka apabila mereka servis kereta mereka atau membeli produk kami,” kata timbalan ketuga pegawai eksekutif Proton, Roslan Abdullah. “Affin Bank berbangga menjadi rakan kongsi dengan Proton, syarikat automotif Malaysia, pada tahun ia meraikan ulang tahunnya yang ke-40. Kami percaya kerjasama ini menunjukkan semangat inovasi yang wujud dalam kedua-dua Affin Bank dan Proton sambil membantu memberi ganjaran dan mengembangkan asas pelanggan untuk kedua-dua jenama,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah.
JPJ laksana Ops Khas Hari Raya Aidiladha pada 27-28 Jun dan 1-2 Julai – 9 kesalahan utama jadi tumpuan
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2023 mulai 27 hingga 28 Jun dan 1 hingga 2 Julai 2023 sempena perayaan Hari Raya Aidiladha 2023. Operasi khas ini dijalankan bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang ingkar undang-undang trafik. Ia akan memfokuskan sembilan kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, gagal patuh lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu kenderaan berat di lorong laju. Selain itu, ia turut melibatkan memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, tidak pakai topi atau tali pinggang keledar, lebih muatan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Perkara ini telah diumumkan sendiri oleh JPJ semasa pelancaran kempen keselamatan jalan raya serta operasi khas berkenaan yang diadakan di Plaza Tol Gombak semalam. Ia turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Haji Hasbi Habibollah diiringi Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Rospiagos Taha. Menerusi Kempen Keselamatan Jalan Raya HRAA pada kali ini pula, ia memfokuskan kepada kepentingan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak atau Child Restrain System (CRS) . Di mana kerusi tersebut dapat membantu kanak-kanak dengan cara mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.
ANIH keluarkan Jadual Cadangan Perjalanan untuk LPT1 dan Lebuhraya KLK sempena cuti Aidiladha
Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada Khamis ini, 29 Jun 2023, ANIH Berhad menjangkakan lebih satu juta kenderaan dari Lembah Klang bakal keluar menerusi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bermula hari ini, 27 Jun, untuk pulang ke kampung masing-masing. Menurut CEO ANIH Berhad Imran Gulcharan Abdullah, pihaknya menjangkakan peningkatan peningkatan trafik sehingga 70% membabitkan KLK. Manakala lebih kurang 430,000 kenderaan dijangka melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dengan anggaran peningkatan sebanyak 60%. “ANIH telah mengeluarkan cadangan jadual perjalanan (TTA) untuk tempoh bermula 27-28 Jun ini dan 1-2 Julai 2023. TTA ini bertujuan memberi maklumat penting kepada pengguna lebuhraya ini mengenai corak aliran trafik serta membantu mereka merancang perjalanan semasa musim perayaan Aidiladha,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Bagi pengguna yang datang dari arah Selangor dan Kuala Lumpur yang menuju ke Pahang, anda disarankan melalui kedua-dua lebuhraya berkenaan selepas jam 12 tengahari atau 9 malam. Bagi yang menuju ke Terengganu dan Kelantan pula, disarankan memulakan perjalanan selepas jam 6 pagi atau 7 malam. Cadangan waktu berkenaan untuk mereka yang bakal memulakan perjalanan pada 28 Jun. Manakala untuk mereka yang bakal menuju ke Kuala Lumpur dan Selangor pada tempoh 1 higga 2 Julai pula, jika bergerak dari Pahang, anda disarankan memulakan perjalanan sebelum 6 pagi atau 7 malam. Untuk yang dari Terengganu pula, disarankan untuk memulakan perjalanan sebelum 10 pagi atau 8 malam. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan menggunakan kedua-dua lebuhraya berkenaan selepas jam 5 petang. Bagi bas ekspres pula, waktu perjalanan yang dicadangkan untuk ke Pantai Timur dari Tol Gombak adalah 9.30 pagi hingga 12 tengahari dan 9.30 malam hingga 12 tengahmalam. Menurut Imran lagi, ANIH juga akan membuka laluan kontra di lokasi tumpuan yang mengalami kesesakan dan lorong tol tambahan bagi transaksi bayaran secara manual. Selain itu, pihaknya juga akan menambah bilangan kakitangan sokongannya sehingga 20%, yang terdiri daripada petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC). Selain menempatkan 170 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di kawasan strategik di sepanjang lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik. “Sebelum memulakan perjalanan, pengguna lebuhraya ini dinasihati memastikan baki yang mencukupi dalam e-wallet atau kad Touch ‘n Go bagi mengelakkan kesulitan di plaza tol yang boleh menyebabkan kelewatan perjalanan. “Selain itu, sila patuhi tanda-tanda jalan, had laju dan arahan daripada pegawai lebuhraya untuk memastikan keselamatan dan keselesaan yang terjamin,”katanya.
JPJ eBid: JWJ dan CEU bakal dibuka bidaan
Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid. Siri nombor pendaftaran terkini Johor, JWJ, bakal dibuka bidaan mulai 29 Jun lalu dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 3 Julai. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 4 Julai 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel. Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pahang pula, CEU, bidaannya akan dibuka pada 6 Julai. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 10 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 11 Julai 2023 ini. Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.
Toyota Hilux bakal terima sistem hibrid 48V pada 2024 – jimat bahan api 10% guna enjin 2.8L turbodiesel
Trak pikap Toyota Hilux diumumkan bakal menerima sistem hibrid ringkas 48V (MHEV) bagi model 2024. Perkara ini diumumkan secara rasmi oleh Toyota Australia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan. Teknologi tersebut akan dipadankan dengan enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel yang sama pada Hilux sedia ada. Buat masa sekarang enjin berkenaan sudahpun mampu menjana 204 PS dan tork maksima 500, dan dengan penambahan sistem hibrid ringkas yang menampilkan bantuan kuasa menerusi unit motor elektrik jenis stater-generator tersebut mungkin akan memberikan sedikit kuasa tambahan. Namun apa yang pasti Toyota telah mengesahkan pemadanan sistem hibrid ringkas 48V ini akan memberikan penjimatan bahan api sehingga 10%. Ia juga akan diberikan sistem kelajuan pepura pintar yang akan mematikan/menghidupkan enjin secara automatik, didakwa akan memberikan pemanduan dan juga tahap NVH yang lebih baik. Toyota turut mengesahkan bahawa walaupun Hilux bakal menerima sistem elektrik dan elektronik lebih kompleks ini, ia tidak akan menjejaskan kebolehannya dalam pemanduan atas jalan atau meredah laluan off-road. Malah Toyota turut memberikan jaminan bahawa kapasiti menunda sehingga 3,500 kg pada Hilux MHEV tersebut juga akan kekal. Menurut naib presiden jualan, pemasaran dan operasi franchise Toyota Australia Sean Hanley, pengenalan teknologi hibrid 48V pada Hilux ini menunjukkan komitmen Toyota bagi mengurang penggunaan bahan api kenderaan-kenderaan keluarannya tanpa mengorbankan prestasi dan kebolehan yang dimahukan oleh pelanggan. Untuk pasaran Australia, sistem hibrid ringkas ini kelak akan dibekalkan secara standard pada model Hilux 4×4 SR5 dan Rogue Double Cab (dengan badan yang lebih lebar dan suspensi dipertingkat) pada separa pertama 2024. Belum ada pengumuman rasmi lagi dari Toyota sama ada sistem yang sama turut akan ditawarkan pada pasaran lain. Namun adakah anda rasa sistem yang sama perlu ditawarkan di Malaysia? Kongsikan pandangan anda dalam ruang komen di bawah atau pada hantaran media-media sosial kami. GALERI: Toyota Hilux Rouge Double Cab pasaran Australia
Mitsubishi The Champion Xperience – buka peluang rasai Triton di SS Rali dan laluan off-road sebenar!
Dulu ada pepatah berbahasa inggeris dalam dunia automotif yang menyebut “Win on Sunday, sell on Monday”. Pepatah ini popular sejak era 60’an hingga penghujung 90’an di mana pengeluar gemar menjadikan perlumbaan sebagai medan pengiklanan untuk menjual kereta – jika kereta berkenaan menang perlumbaan pada hari Ahad, ia akan mudah terjual pada hari Isnin berikutnya. Walau bagaimanapun, konsep pemasaran seperti ini semakin dilupakan kerana kereta-kereta lumba generasi baharu menampilkan spesifikasi yang tidak sama dengan model yang dijual di bilik pameran. Situasi ini berbeza berbanding era FIA mensyaratkan pengeluar menghasilkan model produksi homologasi istimewa untuk dijual dalam pasaran, menggunakan asas enjin dan kerangka yang sama seperti kereta lumba sebenar. Namun bagi Mitsubishi, selepas sayap prestasi dan perlumbaannya iaitu Ralliart dihidupkan semula pada 2021 dan mula berlumba semula pada tahun lalu, konsep “Win on Sunday, sell on Monday” kini telah relevan semula – dan ia perlu bagi menyemarakkan kembali semangat peminat jenama tiga berlian berkenaan yang terkenal dengan DNA perlumbaan dalam disiplin rali. Oleh itu, hujung minggu lalu Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah pun mengadakan acara The Champion Xperience, iaitu acara yang membuka peluang kepada orang ramai bagi merasai kemampuan juara Asia Cross Country Rally (AXCR) 2022, trak pikap Mitsubishi Triton di habitat semula jadinya iaitu laluan off-road! Acara ini dilangsungkan di Tanamera, Shah Alam pada hujung minggu lalu iaitu bermula 24 hingga 25 Jun 2023. Dua highlight utama yang disediakan untuk pengunjung acara ini iaitu pandu uji sendiri Triton Athelete di laluan off-road yang disediakan, dan kedua peluang merasai sendiri duduk di tempat duduk penumpang hadapan Triton Athelete yang dipandu oleh pemandu rali profesional sebenar di atas laluan Super Stage (SS) rali sebenar. Penulis berkesempatan menghadiri The Champion Experience ini dan menyertai dua aktiviti utama ini. Bagi pandu uji penganjur telah menyediakan litar off-road pada laluan yang sempit, menurun dan mendaki bukit pada sudut yang curam, dan juga beberapa selekoh yang sangat tajam. Memandu dalam laluan ini benar-benar menyerlahkan kebolehan Triton yang tidak akan anda rasa ketika memandunya di atas jalan raya. Pertama sekali anda dapat rasakan betapa senyapnya kabin Triton dan suspensi yang dipadankan dapat menyerap hentakan dengan baik ketika dipandu pada permukaan yang lasak dan tidak rata. Anda juga berpeluang menggunakan sistem bantuan menurun cerun yang dipadankan pada Triton Athlete ini, membolehkan anda menurun bukit yang curam pada laluan yang tidak ditar dengan selamat walaupun tidak mempunyai pengalaman untuk melalui laluan sedemikian. Manakala pada laluan mendaki, anda dapat merasakan kelebihan enjin 2.4 liter empat silinder DOHC MIVEC turbodiesel berkuasa 181 PS/430 Nm tork yang digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II. Anda boleh rasakan betapa mudahnya Triton Athlete ini mendaki bukit curam di atas permukaan tanah merah dengan hanya menggunakan mod 4H pada sistem 4WD, tanpa perlu menggunakan gear 4L. Malah tayar yang digunakan juga masih lagi tayar A/T yang sesuai digunakan setiap hari dan bukan menggunakan tayar M/T yang lebih fokus pada permukaan laluan off-road. Malah dengan radius pusingan minima 5.9 meter pada Triton Athlete ini membolehkan anda mengambil selekoh yang bukan sahaja tajam, malah sempit yang disediakan dalam laluan off-road yang disediakan. Selesai dengan aktiviti pandu uji ini, peserta akan dihantar pula ke SS rali yang disediakan. Untuk pengetahuan anda, Tanamera sememangnya antara venue yang dituju oleh pasukan-pasukan rali tempatan untuk membuat persediaan, talaan dan latihan seperti sesi shakedown dan sebagainya. Jadi SS di Tanamera ini menyajikan SS klasik untuk rali di Malaysia iaitu laluan permukaan batu kerikil berwarna merah serta ‘dihiasi’ pokok-pokok kelapa sawit di sepanjang laluan. Dua orang pemandu rali disediakan penganjur untuk memberikan pengalaman yang mungkin tidak akan dilupakan untuk peserta – Juara Kejohanan Rali Malaysia (MRC) 2017 dan 2018 Roduwan Rashid, serta pelumba muda yang baru berumur 21 tahun Ibrahim Saladin iaitu anak kepada pemandu rali lagenda negara, Saladin Mazlan. SS yang disediakan tidaklah panjang, tetapi cukup padat untuk peserta merasa pelbagai aksi rali sebenar termasuk merasai kelajuan yang tidak masuk akal pada laluan sempit, scandinavian flick dan hand brake turn pada selekoh hairpin, dan juga merasa beberapa lompatan. Untuk pengetahuan anda, Mitsubishi Triton dalam spesifikasi FIA Group T1 yang menang dalam AXCR tahun lalu adalah hampir sama dengan Triton Athlete yang dijual dalam pasaran ini. Jentera rali berkenaan masih menggunakan enjin standard yang sama tanpa sebarang peningkatan kuasa, cuma diberikan kelengkapan keselamatan seperti roll cage dan sebagainya serta suspensi yang lebih sesuai untuk rali rentas negara. Saya sendiri pernah merasai ‘taxi ride‘ di dalam jentera rali Triton T1 berkenaan di Kanchanaburi, Thailand ketika sesi shakedown pasukan tersebut tahun lalu. Dan secara jujur, pengalaman duduk di tempat duduk penumpang hadapan antara Triton T1 berkenaan dan juga Triton Athlete produksi di atas laluan SS rali memang tidak banyak beza. Trak pikap tersebut mempamerkan kelincahan dan dinamik pemanduan yang begitu baik walaupun pada permukaan batu kerikil yang tidak mempunyai cengkaman yang kuat seperti di atas tar. Jadi menerusi pengalaman ini, Mitsubishi seolah-olah mahu memberitahu bahawa Triton standard ini sememang cukup bagus untuk perlumbaan rali, dan ia adalah antara faktor untuk mereka memenangi AXCR tahun lalu. Selain dari dua pengalaman ini, Mitsubishi turut membawa peserta untuk kembali mengenang kejayaan mereka dalam dua rali terulung di dunia iaitu Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan juga Rali Dakar. Di luar khemah utama, dua buah jentera dipamerkan untuk tatapan orang ramai iaitu sebuah Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makkinen Edition (turut dikenali sebagai Evo 6.5) dan juga sebuah Mitsubishi Pajero Jr. yang disolek seolah-olah bersedia untuk Rali Dakar. Sementara dalam khemah berpendingin hawa pula disediakan papan maklumat yang memberikan informasi sejarah dan kejayaan Mitsubishi Ralliart dalam WRC serta Rali Dakar. Beberapa kenderaan juga dipamerkan di dalam khemah tersebut antaranya replika Triton T1 Juara AXCR 2022 dan Mitsubishi Xpander yang diubahsuai seperti jentera rali Xpander AP4. Pelbagai permainan dan aktiviti untuk seisi keluarga juga disediakan dalam khemah tersebut, bersama ruang bersantai untuk pengunjung menikmati juadah yang disediakan. Malah untuk peserta yang menyertai pandu uji turut diberikan hadiah berupa kemeja-T eksklusif Champion Xperience dan juga pin isian semula Touch ‘n Go eWallet bernilai RM20. Manakala peserta-peserta pandu uji yang bertuah telah memenangi bag North Face Explore Bardu II menerusi cabutan bertuah yang akan dijalankan. Acara ini menerima sambutan yang menggalakkan di mana slot-slot yang dibuka untuk orang ramai menyertainya penuh untuk dua hari, malah ada juga yang mencuba nasib datang secara walk-in untuk menyertainya. Mungkin dengan sambutan yang begitu baik dari orang ramai akan mendorong Mitsubishi Motors Malaysia untuk melangsungkan acara yang sama sekali lagi nanti?
README.md exists but content is empty. Use the Edit dataset card button to edit it.
Downloads last month
0
Edit dataset card